Sabtu, 24 November 2018 | 7:53pm
KETUA Pemuda AMANAH, Mohd Sany Hamzan. - Foto L Manimaran
KETUA Pemuda AMANAH, Mohd Sany Hamzan. - Foto L Manimaran

Pemuda AMANAH perlu berani tegur pemimpin

KUALA KANGSAR: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) perlu berani menegur pucuk pimpinan parti itu dan bukan bersikap acuh tidak acuh seperti pergerakan Pemuda parti pembangkang.

Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Sany Hamzan, berkata soal berkaitan perbezaan pendapat dan bergaduh dalam mesyuarat parti adalah perkara biasa dan itu menunjukkan pergerakan itu berani menyuarakan pendapat mereka.

“Kita kena amanah dan adil. Kalau kami (pemimpin) tidak betul, tegur. Minta Pemuda tegur pimpinan dan jangan tunggu sehingga konvensyen. Kalau boleh, tegur masa itu juga. Ini kita mahu dari ahli-ahli.

“Saya ucap syabas dan tahniah kepada perwakilan yang berani tegur kepimpinan. Kita tidak mahu Pemuda AMANAH jadi macam Pemuda UMNO dan PAS yang tidak berani tegur pemimpin mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional 2018 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil. Konvensyen itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub, semalam.

Mohd Sany berkata, beberapa perubahan dalam biro Pemuda AMANAH juga akan dikemaskini bagi memantap dan memperkasa organisasi parti itu.

“Kita akan bincang dengan lebih lanjut perkara ini. Mana biro yang perlu perubahan, kita akan ubah. Mana perlu pembaikan, kita akan buat pembaikan,” katanya.

Mohd Sany juga berkata, beliau akan menghantar surat dan berjumpa dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkenaan isu pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN).

“Kami akan mendesak kerajaan menaikkan tahap gaji minimum untuk pemotongan gaji bagi pembayaran balik PTPTN daripada RM1,000 kepada RM4,000 seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) lalu,” katanya.

Antara yang disentuh dalam konvensyen berkenaan termasuk penjenamaan semula Pemuda AMANAH dan cadangan menggabungkan sayap Pemuda dan Wanita parti itu.

Berita Harian X