Jumaat, 30 November 2018 | 2:09pm
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Mahzir Mat Isa

Perhimpunan ICERD tiada kaitan isu perbalahan tapak kuil - Abdul Hadi

MARANG: PAS menegaskan bahawa perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tiada kaitan langsung dengan isu perbalahan tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Selangor.

Sebaliknya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata himpunan bantah ICERD yang dijadualkan berlangsung pada 8 Disember itu lebih bersifat pandangan politik.

Beliau berkata, kerajaan hari ini masih bercelaru terhadap keputusan untuk meratifikasi ICERD atau tidak berikutan terdapat segelintir menteri yang masih mengeluarkan kenyataan tidak selari dengan pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mengapa ia (perhimpunan) diteruskan? Kerana kita ada pandangan politik iaitu apabila ada segelintir menteri yang membuat kenyataan nak tangguh, tunggu dulu (berkaitan ratifikasi ICERD). Ini menunjukkan kerajaan masih celaru sedangkan kita perlukan penegasan.

“Selain itu, kenyataan menteri tertentu juga menunjukkan mereka tidak menghormati Perdana Menteri. Justeru, kita kena tunjukkan kekuatan orang Islam,” katanya ketika ditemui selepas Kuliah Jumaat, di sini, hari ini.

Presiden PAS itu juga berpendapat bahawa penganjuran perhimpunan itu akan mengukuhkan lagi kenyataan Tun Dr Mahathir yang sebelum ini berkata isu meratifikasi ICERD adalah mustahil untuk dilaksanakan di negara ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, turut memberi jaminan bahawa perhimpunan bantah ICERD akan berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini atau provokasi.

“Kita beri jaminan dan kita juga akan bekerjasama dengan pihak polis untuk mengawal peserta perhimpunan supaya ia berjalan lancar.

“Perkara ini (meratifikasi ICERD) berkait dengan orang Islam dan Melayu secara khusus tanpa mengira latar belakang politik termasuk polis itu sendiri. Justeru, kita merasa bertanggungjawab terhadapnya kecuali orang yang tidak memahami isu ini dan merasakan ia perkara remeh,” katanya.

Beliau juga mengesahkan kehadirannya untuk menyertai perhimpunan itu, sekali gus bersama-sama rakyat untuk menyatakan bantahan terhadap ICERD.

Berita Harian X