Sabtu, 1 Disember 2018 | 1:33pm

DAP akan bertanding PRK Cameron Highlands

GEORGETOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menjelaskan parti itu akan meletakkan calon bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Pahang.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira ia adalah kerusi tradisi yang ditandingi DAP dan akan dimaklumkan kepada kepemimpinan PH.

Selain itu, katanya, jentera DAP sudah pun diarah untuk menjalankan gerak kerja sebagai persediaan untuk menghadapi PRK jika rayuan yang akan dikemukakan Barisan Nasional (BN) ditolak.

“Ia tentu akan ditandingi oleh DAP, tetapi tentulah kita akan laporkan kepada PH memandangkan ini adalah kerusi tradisi dan akan ditandingi semula oleh calon DAP.

“Saya difahamkan mereka (BN) akan buat rayuan jadi kita tunggu keputusannya, tetapi ia agak panjang kerana pendengaran (rayuan) dalam Januari depan dan keputusan mungkin lewat lagi.

“Ia mungkin diadakan selepas Tahun Baru Cina dan saya juga sudah arahkan M Manogaran (Timbalan Pengerusi DAP Pahang) untuk gerakkan organisasi supaya kita bersedia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon BN, Datuk C Sivarraajh, adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu ditetapkan selepas pempetisyen, Manogaran, 59, berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran memfailkan petisyen bagi memohon perisytiharan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atas dakwaan responden (Sivarraajh) merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, pembangkang tidak dihalang untuk menjalankan himpunan aman bagi meraikan kejayaan selepas kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD).

Bagaimanapun, katanya, pembangkang perlu mengambil kira pandangan pihak berkaitan, termasuklah daripada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta situasi terkini negara.

“Saya secara peribadi berpandangan, jika sesiapa mahu buat perhimpunan dalam keadaan aman, ia memang dibenarkan.

Bagaimanapun demi keselamatan, keamanan dan ketenteraman negara, (perhimpunan) tidak harus diteruskan.

“Dalam keadaan kini saya rasa itu (perhimpunan) tak berapa sesuailah dan banyak nasihat sudah dikeluarkan, tetapi ia terpulanglah kepada mereka (pembangkang),” katanya.

LIM Guan Eng, menjelaskan parti itu akan meletakkan calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Pahang. - Foto MIKAIL ONG
LIM Guan Eng, menjelaskan parti itu akan meletakkan calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Pahang. - Foto MIKAIL ONG

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X