Sabtu, 1 Disember 2018 | 2:34pm
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini. - Foto BERNAMA

Calon PRK Cameron Highlands mesti wakil PH, bukan parti - Azmin

SERDANG: Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands mestilah daripada wakil Pakatan Harapan (PH), bukan mewakili parti, kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bagaimanapun berkata, isu pemilihan calon pasti akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kita mahu calon yang bertanding adalah calon PH, bukan calon yang mewakili satu-satu parti.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pun sudah tegaskan beberapa kali yang kita harus bertindak sebagai PH.

“Saya yakin keputusan boleh dibuat secara konsensus untuk pastikan Cameron Highlands akan jadi milik rakyat dan PH,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Pagi tadi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengumumkan parti itu akan meletakkan calon bagi mewakili PH dalam PRK berkenaan.

Semalam, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivarraajh, adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu ditetapkan selepas pempetisyen, M Manogaran, 59, berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran memfailkan petisyen bagi memohon perisytiharan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atas dakwaan responden (Sivarraajh) merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

Berita Harian X