Ahad, 2 Disember 2018 | 5:38pm
BEKAS Naib Presiden Gerakan Tan Sri Liew Yun Fah (dua dari kanan) yang secara rasmi menyertai parti AMANAH disaksikan Mohamad Sabu (kiri) di Dewan Sinn Onn Hotspring di Tawau. - Foto ABDUL RAHEMANG TAIMING
BEKAS Naib Presiden Gerakan Tan Sri Liew Yun Fah (dua dari kanan) yang secara rasmi menyertai parti AMANAH disaksikan Mohamad Sabu (kiri) di Dewan Sinn Onn Hotspring di Tawau. - Foto ABDUL RAHEMANG TAIMING

Bekas Naib Presiden GERAKAN sertai AMANAH

TAWAU: Bekas Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Tan Sri Liew Yun Fah, hari ini menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam satu program khas di Dewan Sinn Onn Hotspring, dekat sini.

Pada program itu, seramai 1,050 ahli baharu terdiri daripada ahli serpihan Barisan Nasional (BN) termasuk GERAKAN dan UMNO di Parlimen Tawau dan Kalabakan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Kemasukan ahli baharu secara beramai-ramai itu adalah penyertaan paling ramai pernah dicatatkan AMANAH sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), pada Mei lalu.

Mohamad berkata, penyertaan tokoh politik berpengaruh seperti Yun Fah mampu mengembangkan pengaruh parti itu di Sabah.

“Kita (AMANAH) bersikap terbuka kerana yang mahu menyertai kita termasuk bekas ahli parti komponen BN dahulu, mahu memulakan satu platfom yang baharu melalui AMANAH dan PH. Kita mengalu-alukan siapa sahaja,” katanya kepada media pada Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Borang Keahlian Parlimen Tawau dan Parlimen Kalabakan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata kemasukan ahli baharu pada hari ini adalah satu gelombang baharu yang menunjukkan masyarakat di Sabah sudah menerima AMANAH.

Mengenai ura-ura ada wakil rakyat daripada pembangkang akan menyertai AMANAH, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan di peringkat tertinggi parti.

“Tapi setakat ini belum ada geng menyerahkan borang,” katanya.

Sementara itu, Yun Fah, berkata keputusan menyertai AMANAH dibuat kerana tertarik dengan keprihatinan Menteri Pertahanan itu yang amat mengambil berat isu keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE)

Berita Harian X