Jumaat, 7 Disember 2018 | 6:43pm
PERWAKILAN mendengar amanat ringkas Tun Dr Mahathir Mohamad melalui rakaman video pada perasmian Konvesyen Kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah, di Dewan Seri Mentaloon, hari ini. - Foto BERNAMA
PERWAKILAN mendengar amanat ringkas Tun Dr Mahathir Mohamad melalui rakaman video pada perasmian Konvesyen Kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah, di Dewan Seri Mentaloon, hari ini. - Foto BERNAMA

PH Kedah harus perkukuh kedudukan - Tun M

ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) Kedah harus bergerak sebagai sebuah kerajaan campuran dengan gabungan kekuatan PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) demi kelangsungan pentadbiran di negeri itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata setiap parti komponen PH tidak seharusnya menumpukan pada kedudukan individu, sebaliknya harus mempunyai semangat kerajaan campuran bagi menjamin kedudukan PH di Kedah yang belum kukuh ketika ini.

“Kita menjadi pemerintah di Kedah kerana kemenangan dalam pilihan raya, namun demikian kedudukan kita bukanlah begitu kuat kerana kelebihan wakil rakyat kita tidak begitu banyak.

“Justeru saya berpendapatan bahawa kita tidak harus tumpu pada kedudukan diri sahaja, iaitu sama ada kita dapat itu atau ini, jawatan atau tidak.

“Kita kena tentukan bahawa kita bergerak sebagai satu kerajaan campuran dan bukannya parti berasingan,” katanya yang berucap melalui rakaman video pada Konvensyen Kepimpinan PH Kedah, di sini, hari ini.

Konvensyen Kepimpinan PH Kedah ‘Kerajaan Kedah: Cabaran dan Harapan’ yang diadakan di Seri Mentaloon, dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, PH memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu menyamai jumlah kerusi dimiliki pembangkang PAS (15) dan UMNO (3).

Namun, susulan pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak daripada UMNO, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail menyertai BERSATU semalam, PH kini mempunyai 19 kerusi DUN.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, beliau khuatir jika setiap parti dalam PH Kedah menumpukan pada agenda peribadi, perpaduan tidak akan berjaya dicapai, sekali gus berisiko melemahkan pentadbiran sedia ada.

“Saya berharap konvensyen yang diadakan ini dapat menumpukan kepada kerjasama dalam PH dan bukannya agenda untuk kepentingan kedudukan individu dalam parti.

“Kalau kita tidak boleh bekerjasama, saya yakin kita tidak akan menjadi kerajaan lama, namun jika sebaliknya, saya yakin tidak akan ada masalah dihadapi oleh kerajaan Kedah,” katanya.

Berita Harian X