Khamis, 13 Disember 2018 | 7:43pm
DIRA Abu Zahar (kiri) dan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (kanan). - Foto NSTP
DIRA Abu Zahar (kiri) dan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (kanan). - Foto NSTP

Tindakan Mas Ermieyati tidak mengejutkan

JASIN: Tindakan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak mengejutkan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dira Abu Zahar, berkata ini kerana bekas Ketua Puteri UMNO itu berstatus Bebas sejurus selesai pemilihan kepemimpinan parti, Ogos lalu.

“Secara individu, saya tidak patut menghukum keputusan beliau menyertai BERSATU, cuma saya belum nampak tindakan yang pernah dibangkitkan parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu iaitu menyaman mana-mana wakil rakyat UMNO yang melompat parti.

“Natijahnya, Ahli Parlimen UMNO bebas membuat keputusan mereka (keluar parti) dan tiada tindakan yang diambil terhadap mereka.

“Apakah kata-kata dalam ucapan ketika PAU tempoh hari sekadar retorik untuk sedapkan hati perwakilan dan pengikut UMNO selama ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dira atau nama sebenarnya Khaidirah, antara selebriti yang dilantik oleh Mas Ermieyati sebagai EXCO Puteri UMNO, tiga tahun lalu bertujuan menarik sokongan lebih ramai wanita muda terhadap parti itu.

Sehubungan itu, katanya, UMNO perlu bertindak segera membentangkan pelan tindakan serta langkah yang wajar dilaksanakan demi kelangsungan parti.

Beliau mengulas langkah Mas Ermieyati yang menyertai BERSATU hari ini, selepas menyerahkan sendiri borang permohonan keahlian parti kepada Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Berita Harian X