Jumaat, 14 Disember 2018 | 6:15pm
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba untuk menghadiri Mesyuarat Khas Ketua-Ketua Cabang PKR Sarawak di Hotel Hilton Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Nasib Baru Bian ditentukan esok

KUCHING: Spekulasi sama ada Menteri Kerja Raya, Baru Bian, kekal atau tidak sebagai Pengerusi PKR Sarawak hanya akan terjawab esok.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau menurunkan kuasa penuh kepada 29 Ketua Cabang PKR Sarawak untuk memilih Pengerusi PKR Sarawak walaupun kuasa memilih milik Presiden parti.

“Saya datang ke sini bagi mendengar masalah dan isu berbangkit, termasuk mengikut keputusan majoriti Ketua Cabang bagi memilih Pengerusi PKR Sarawak. Mungkin pada pemilihan PKR sebelum ini menyaksikan persaingan sengit dengan suara orang muda sedikit lantang.

“Kita mengambil positif kesemua perkara dan mahu maju ke hadapan demi kepentingan parti ini di Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Ketua Cabang PKR Sarawak, di sini hari ini.

Spekulasi pengguguran Baru timbul selepas beliau tidak hadir dalam mesyuarat terbabit walaupun pernah ditegur keras Anwar kerana tidak muncul pada Kongres Nasional PKR Ke-13, di Shah Alam pada 18 November lalu.

Difahamkan, perebutan jawatan bagi Pengerusi PKR Sarawak adalah membabitkan Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau dan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo.

Anwar bagaimanapun dalam sidang media berkenaan tidak menunjukkan reaksi tidak puas hati terhadap ketidakhadiran Baru pada mesyuarat berkenaan.

“Baru tidak hadir kerana menghadiri majlis rasmi di sebuah gereja yang tidak boleh dielakkan,” katanya.

Teo pastinya berdepan tentangan sengit kerana pada pemilihan PKR lalu, majoriti Ketua Cabang di Sarawak memberi sokongan kuat agar Baru kekal menyandang jawatan terbabit bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Mengulas berkenaan trend Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti sejak kebelakangan ini, Anwar berkata, penerimaan bekas ahli parti itu dalam Pakatan Harapan (PH) perlu dilakukan secara berprinsip dan integriti.

“Kita (PH) kena sangat berhati-hati dan perlu ada perbincangan lanjut kerana ia membabitkan persepsi rakyat kepada PH,” katanya.

Berita Harian X