Ahad, 16 Disember 2018 | 8:41am
BARU Bian

Baru Bian dilantik semula sebagai Pengerusi MPN PKR Sarawak

KUCHING: Menteri Kerja Raya, Baru Bian, dipilih semula sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak.

PKR dalam satu kenyataan malam tadi, berkata Baru, 60, yang juga Ahli Parlimen Selangau, dilantik semula selepas selesai proses perbincangan dan rundingan di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ketua-ketua cabang negeri Sarawak.

Mesyuarat antara Anwar dan 27 ketua cabang negeri diadakan di sini kelmarin, bagaimanapun Baru tidak hadir kerana menjalankan tugas rasminya di Lawas.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, dalam satu kenyataan bagi pihak Anwar, memaklumkan bahawa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, dilantik sebagai Pengerusi PKR Pahang.

Khamis lalu, PKR mengumumkan enam pengerusi MPN iaitu Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (Perak); Amiruddin Harun (Negeri Sembilan); Datuk Johari Abdul (Kedah); Datuk Christina Liew Chin Jin (Sabah); Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Halim Bachik (Melaka).

Kelmarin, PKR mengumumkan lima lantikan baharu Pengerusi MPN iaitu Hassan Abdul Karim (Johor), Azan Ismail (Terengganu), Amran Kamarudin (Perlis), Amirudin Shaari ( Selangor) dan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor​​​​​ (Kelantan).​​ - BERNAMA.

Berita Harian X