Ahad, 16 Disember 2018 | 4:30pm
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos . - Foto Hafiz Sohaimi
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos . - Foto Hafiz Sohaimi

UMNO Sungai Besar desak Ahmad Zahid undur

SUNGAI BESAR: UMNO Bahagian Sungai Besar mendesak Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berundur atau berehat dari jawatan berikutan isu yang menimpa parti politik itu.

Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Jamal Md Yunos, berkata keputusan itu diambil selepas pergerakan bahagian itu hilang kepercayaan kepada Ahmad Zahid kerana gagal memulihkan keyakinan dan kepercayaan ahli parti.

“Melihat isu semasa, mengenai keadaan politik tanah air, saya dan UMNO Sungai Besar berasa gusar. Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi UMNO Sungai Besar sudah hilang kepercayaan kepada Presiden parti iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Jadi UMNO Sungai Besar mendesak supaya Datuk Seri Ahmad Zahid berundur atau berehat daripada memegang jawatan presiden parti untuk memberikan laluan kepada sistem yang ada dalam UMNO itu sendiri.

“Hari ini saya tegaskan Sungai Besar adalah Bahagian penyokong kuat kepada Presiden UMNO dengan itu Sungai Besar mengumumkan kami menarik kembali sokongan kami kepada presiden kerana kami melihat presiden tidak berupaya untuk menangani krisis yang berlaku sekarang ini. Saya tidak menyalahkan beliau tetapi dilihat beliau sangat lemah dan tidak berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual yang dimuat naik dalam portal berita Watan-Online sebelum dikongsikan di media sosial.

Pada masa sama, Jamal berkata tuduhan yang dikenakan terhadap Ahmad Zahid disifatkan sebagai tuduhan bermotifkan politik.

“Memang ada yang mengatakan baru tujuh bulan (menjadi pembangkang), tetapi dalam tempoh itu, saya tidak menyalahkan mana-mana Ahli Parlimen mahupun beliau (Ahmad Zahid).

“Malah, saya tidak menyatakan kelemahan beliau (Ahmad Zahid) tetapi keadaan yang berlaku ketika ini perlu diambil kira.

“Sepatutnya, Presiden merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) perlu mengambil langkah proaktif untuk menghalang perkara ini (tuduhan) daripada berlaku secara berterusan,” katanya.

Menurut Jamal, kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) seharusnya dijadikan pengajaran kepada akar umbi parti itu.

Justeru, katanya, pergerakan itu mengharapkan Presiden melakukan sesuatu termasuk menjadi pembangkang yang kuat dan baik demi kebaikan negara serta rakyat.

Bagaimanapun, katanya, apabila melihat pemimpin termasuk Ahli Parlimen UMNO dan Perhubungan UMNO di Sabah yang terpaksa digantikan selepas mereka bertindak keluar parti, perkara berkenaan tidak mustahil boleh juga berlaku di negeri lain.

Sehubungan itu, Jamal berkata, pergerakan itu meletakkan kepercayaan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan dan dibantu oleh Naibnya.

Sementara itu, usaha NSTP menghubungi Jamal gagal berikutan beliau pulang ke kampung isterinya di Lenggong, Perak, untuk menziarahi jenazah bapa mentuanya yang meninggal dunia semalam.

Berita Harian X