Isnin, 17 Disember 2018 | 2:57pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada sesi dialog Perdana Menteri bersama 50 pemain industri anjuran Kumpulan Industri Kerajaan Untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) di sini, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pertimbang masuk jika sesuai - Dr Mahathir

CYBERJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan semua permohonan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan dipertimbang dan dikaji terlebih dahulu sebelum diterima.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, berkata tidak semua permohonan akan diterima.

“Kita akan timbang, kalau sesuai kita boleh terima, kalau tak (tidak) sesuai kita tidak boleh terima.

“Kita tidak boleh terima semua orang. Kita kena kaji dulu,” katanya ketika ditemui pada sesi dialog Perdana Menteri bersama 50 pemain industri anjuran Kumpulan Industri Kerajaan Untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai permohonan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik yang ingin menyertai BERSATU, Dr Mahathir berkata, pihaknya juga akan mengkaji permohonan itu.

“Dia (Rahim) bebas selepas keluar UMNO sebelum ini. Kalau dia sesuai kita terima,” katanya.

Semalam, Rahim menyerahkan borang keahlian menyertai BERSATU kepada Pengerusi Perhubungan BERSATU Melaka, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Mengulas mengenai kedudukan Setiausaha Politiknya, Muhammad Zahid Md Arip yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah membabitkan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Dr Mahathir berkata, tuduhan sahaja tidak bermakna beliau bersalah.

“Tuduhan bukan bermakna salah. Tuduhan dibuat atas asas-asas yang didapati. Kita kena tunggu sehingga dia (Muhammad Zahid) dibicarakan.

“Kalau beliau dibicara dan kalau salah, kita akui dia salah. Tuduhan sahaja tidak bermakna dia salah,” katanya.

Menurut laporan sebuah portal berita, Muhammad Zahid disebut dalam sembilan dari 10 pertuduhan yang dikenakan terhadap Mohd Isa kerana didakwa menerima sogokan RM3 juta dari pembelian sebuah hotel di Kuching.

Muhamad Zahid didakwa menjadi perantara antara seorang pengarah di syarikat Gagasan Abadi bernama Ikhwan Zaidel dan Mohd Isa.

Beliau sebelum ini ditahan SPRM pada Ogos 2017 berhubung urusan pembelian hotel itu dan direman selama lapan hari.

Berita Harian X