Isnin, 17 Disember 2018 | 4:47pm
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. - Foto Eizairi Shamsudin

Dewan Rakyat dimaklum kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands - Speaker

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menerima surat pemakluman daripada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands mulai 15 Disember lalu.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, berkata kekosongan kerusi Parlimen itu berlaku berikutan penyandangnya Datuk C. Sivarraajh telah gagal mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Pilihan Raya yang mengisytiharkan bahawa pilihan raya umum ke-14 bagi kawasan Cameron Highlands adalah terbatal dan tidak sah.

Media melaporkan mahkamah tersebut membuat keputusan itu setelah mendapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

“Mahkamah Tinggi juga pada 13 Disember 2018 telah mengeluarkan perakuan menurut Seksyen 36(2)(a), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengisytiharkan bahawa pilihan raya umum bagi kawasan Parlimen P.078 Cameron Highlands pada 9 Mei adalah terbatal,” kata Speaker dalam satu kenyataan di sini.

Tarikh akhir bagi Datuk C. Sivarraajh mengemukakan rayuan tersebut ialah 14 Disember lalu.

Sehubungan itu, pihak SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan, katanya. – BERNAMA

Berita Harian X