Isnin, 17 Disember 2018 | 8:27pm
NURUL Izzah Anwar - Foto KHAIRULL AZRY BIDIN

PKR Tanjung Karang gesa Nurul Izzah tarik balik peletakan jawatan

TANJUNG KARANG: PKR Tanjung Karang menggesa bekas Naib Presiden dan Pengerusi Majlis Perhubungan Negeri Pulau Pinang Nurul Izzah Anwar menarik semula pengumuman peletakan jawatannya, hari ini.

Ketua Cabangnya, Mohd Yahya Mat Sahri, berkata peletakan jawatan itu dianggap dilakukan secara tergesa-gesa.

"Kami mohon beliau (Nurul Izzah) menarik semula peletakan jawatan (Naib Presiden) itu kerana ia datang daripada undi ahli yang bersusah payah memenangkan beliau dalam pemilihan parti lalu.

"Malah, kami turut terkilan dengan tindakan dan keputusan yang dilakukan kerana beliau antara individu yang terbabit secara langsung sejak awal penubuhan parti yang juga Puteri Reformasi KEADILAN waktu itu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Mohd Yahya, pihaknya meminta Nurul Izzah bertenang dan menimbangkan semula keputusan yang dilakukan.

Sementara itu, Mohd Yahya turut menegur bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Latheefa Koya mengenai kenyataan yang dikeluarkannya.

"Untuk pengetahuan semua, KEADILAN adalah parti yang mengamalkan sifat keterbukaan.

"Kami menghormati beliau (Latheefa) sebagai bekas Ahli MPP, namun tindakan yang dilakukan beliau sejak akhir-akhir ini disifatkan tidak mencerminkan sikap sebagai pemimpin senior dalam parti.

"Beliau seharusnya menggunakan ruang yang sesuai serta mengadakan perbincangan dengan pimpinan untuk mendapatkan penjelasan serta menyatakan pendapat serta hasrat," katanya.

Nurul Izzah hari ini mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Naib Presiden selain menyerahkan semula pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang.

Dalam kenyataan sama, Nurul Izzah berkata, pucuk pimpinan utama sudah dimaklumkan dengan keputusan itu manakala khidmatnya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan penggubal dasar masih diteruskan sehingga tamat tempoh iaitu Pilihan Raya Umum akan datang.

Katanya, beliau akan meneruskan kerja-kerja advokasi sebagai sebahagian daripada rakyat dan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Berita Harian X