Rabu, 19 Disember 2018 | 12:59pm
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam. - Foto Aziah Azmee

Cadang Najib dilantik Ketua Umum UMNO

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dicadangkan supaya dilantik sebagai Ketua Umum parti itu dan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, berkata cadangan itu penting susulan keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi kepercayaan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan untuk menjalankan tugas Presiden parti.

“Dalam situasi kritikal begini, UMNO perlu khidmat seorang pemimpin yang berpengalaman dan dihormati oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang masih belum melompat dan yang sudah melompat.

“Atas dasar itu, saya mencadangkan supaya Datuk Seri Presiden UMNO, melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai Ketua Umum UMNO dan Ketua Pembangkang, sementara Presiden UMNO bercuti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid semalam ketika program Wacana U3.0 anjuran Penerangan UMNO mengambil keputusan memberi kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak lebih ramai pemimpin dan ahli UMNO keluar daripada parti itu.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, pelantikan itu penting bagi memastikan kestabilan parti berusia 72 tahun itu.

“Lebih separuh ahli UMNO yang mengundi Datuk Seri Presiden sudah pasti tidak boleh menerima kepemimpinan Timbalan Presiden yang sekalipun tidak pernah mempertahankan Presiden ketika beliau diserang oleh pihak yang mahu beliau bercuti.

“Justeru, saya mohon sokongan pihak-pihak yang bersetuju dengan cadangan saya ini untuk membuat kenyataan yang sama seberapa segera yang boleh. Terima kasih,” katanya.

Berita Harian X