Rabu, 19 Disember 2018 | 2:20pm
MOHD Zaidy Abdul Kadir. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Pemuda UMNO zahir penghargaan kepada Zahid

SEREMBAN: Pemuda UMNO Negeri Sembilan menzahirkan penghargaan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendengar keluh resah akar umbi apabila menyerahkan tugas Presiden kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ketua Pemuda, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, berkata keputusan itu menunjukkan Dr Ahmad Zahid mahu UMNO dipulihkan semula demi kebaikan orang Melayu.

Katanya, penyerahan tugas kepada Mohamad diharap menampakkan hala tuju yang lebih jelas dengan slogan baharu, ‘UMNO Bangkit’.

“Pemuda UMNO Negeri Sembilan meyakini kewibawaan dan kemampuan Tok Mat (Mohamad) untuk memulihkan UMNO. Kami percaya parti akan kembali menawan masyarakat Melayu,” katanya ketika dihubungi, hari ini, sebagai mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang dibuat malam tadi.

Ahmad Zahid mengumumkan keputusan menyerahkan tugas Presiden kepada Mohamad berkuat kuasa serta-merta pada program Wacana U3.0 anjuran Penerangan UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur.

Program yang turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial Facebook UMNO Online itu dikendalikan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidy berkata, imej bersih dan kredibiliti dimiliki Timbalan Presiden itu akan menyatukan semua ahli dan tiada lagi wakil rakyat yang akan lompat parti.

“Kami yakin Tok Mat akan menyelamatkan UMNO daripada rebah. Apa-apapun sejuta penghargaan terhadap Presiden yang mendengar keluhan akar umbi,” katanya.

Menurut beliau, penyerahan tugas itu mungkin disebabkan terlalu banyak desakan dibuat Pemuda supaya Presiden meletakkan jawatan.

Ditanya sama ada UMNO perlu menyaman Ahli Parlimen yang melompat parti, beliau berkata ia terpulang kepada pucuk pimpinan.

“Lebih utama ketika ini adalah pimpinan UMNO perlu bersatu hati. UMNO kini memiliki kepimpinan baru dan diharapkan tiada lagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjadi ‘katak’,” katanya.

Berita Harian X