Rabu, 19 Disember 2018 | 4:04pm
MARZUKI menunjukkan pelan pusat media bagi Perhimpunan Agung Tahunan Parti BERSATU Malaysia kali Pertama sebagai kerajaan baharu pada 28 hingga 30 Disember 2018 ketika sidang media di Kementerian Luar Negeri, Putrajaya. - NSTP/Azhar Ramli

Tindakan Ahmad Zahid tidak mengubah nasib UMNO

PUTRAJAYA: Keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berehat daripada menjalankan tugas Presiden UMNO tidak akan mengubah nasib parti itu ke arah lebih positif.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Marzuki Yahya, berkata walau apa pun tindakan Ahmad Zahid, UMNO tetap tidak mampu untuk kembali menjadi kerajaan.

Sambil menegaskan enggan mengulas lanjut mengenai bekas parti yang pernah disertainya, Marzuki berkata UMNO kini sudah tidak relevan walau apa pun tindakan dilakukan pemimpin parti itu.

“Saya tidak mahu komen lanjut terhadap parti mereka. Biar mereka buat apa yang patut tapi saya fikir UMNO sudah tidak relevan.

“Walaupun Ahmad Zahid bercuti atau melepaskan jawatan, ia tidak akan mengubah apa-apa nasib UMNO.

“Sekarang UMNO tidak boleh jadi kerajaan. Kalau hendak jadi kerajaan, perlu ada pakatan yang baik, tetapi siapa hendak berkawan dengan mereka.

“Malah, MCA menolak untuk bersama mereka. Tinggal UMNO dengan MIC saja. MIC tidak tahu sampai bila hendak bersama UMNO. Saya tidak nampak (kembali jadi kerajaan),” katanya kepada media di pejabatnya, hari ini.

Malam tadi, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, membuat keputusan menyerahkan tugas Presiden kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkuat kuasa serta merta.

Ahmad Zahid membuat keputusan itu bagi menyelamatkan UMNO daripada masalah pemimpin dan wakil rakyatnya yang keluar parti.

“Jika benar saya menjadi punca utama (kepada lompat parti), maka keputusan yang saya lakukan adalah kaedah sebaik-baiknya untuk saya berikan kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas-tugas presiden,” kata Ahmad Zahid.

Sementara itu, Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar, mengakui beliau dihubungi ramai pemimpin dan ahli UMNO termasuk ketua bahagian yang bertanya peluang mereka untuk menyertai BERSATU.

“Setiap hari, saya dihubungi pemimpin UMNO terutama ketua Bahagian yang hendak mendapatkan pandangan bagaimana hendak masuk BERSATU. Ada ketua Bahagian yang tanya macam mana hendak masuk BERSATU dengan ahli cawangan.

“Tapi kita berpendirian, kita perlu menapis semua permohonan. Tidak semestinya apabila mereka serah borang, kita akan terus terima. Ada proses menunggu. Tapisan dibuat dengan mengambil kira maklumat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau juga berkata, setakat ini hanya tiga bekas Ahli Parlimen UMNO yang diterima menganggotai BERSATU manakala bekas wakil rakyat UMNO yang lain masih perlu menunggu permohonan mereka diluluskan.

Berita Harian X