Rabu, 19 Disember 2018 | 7:23pm
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

Hanya sekadar perang saraf politik - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kemasukan bekas Ahli Parlimen UMNO dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengukuhkan lagi kedudukan parti itu di kawasan luar bandar hanya sekadar perang saraf politik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata isu melompat parti hanya menaikkan kemarahan masyarakat luar bandar kerana kerajaan dilihat lebih mementingkan politik berbanding menjaga kebajikan rakyat.

“Akar umbi masih kuat menyokong UMNO dan jika dilihat kawasan di mana Ahli Parlimen terbabit melompat parti seperti di Masjid Tanah, Parit Buntar dan Bukit Gantang malah Jeli, kekuatan UMNO terus utuh.

“Tiada cawangan (UMNO) yang dibubarkan dan tiada ahli parti yang keluar beramai-ramai. Difahamkan tidak ada cawangan baru BERSATU ditubuhkan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU, sebelum ini mendakwa kemasukan bekas Ahli Parlimen UMNO dalam parti itu akan mengukuhkan lagi kedudukannya di kawasan luar bandar.

Beliau juga percaya Ahli Parlimen berkenaan mempunyai sokongan yang kuat akar umbi di kawasan luar bandar yang sudah tentu memberi kelebihan dalam meraih sokongan undi Melayu.

Katanya, apabila BERSATU mendapat tempat di hati orang Melayu, maka parti akan menjadi lebih kuat dan ia akan mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) di kawasan berkenaan.

Ismail Sabri berkata, susulan Ahli Parlimen UMNO yang melompat atau keluar daripada parti itu, UMNO terus kukuh kerana wakil rakyat terbabit bertindak secara bersendirian dan bukan bersama ahli parti.

Dalam pada itu, beliau pelik dengan kenyataan beberapa pemimpin PH sebelum ini yang menyatakan tidak akan menerima Ahli Parlimen UMNO yang melompat parti.

“Bukan ke PH kata tidak menerima Ahli Parlimen UMNO yang melompat? Sebenarnya masyarakat luar bandar sedang marah dengan kerajaan PH kerana gagal membawa kemakmuran.

“Malah, mereka lebih menderita di bawah kerajaan PH kerana kehidupan mereka amat sengsara ketika ini disebabkan harga komoditi yang jatuh merudum berbanding dengan harga barang yang terus meningkat,” katanya.

Berita Harian X