Khamis, 20 Disember 2018 | 1:51pm
ANNUAR Musa. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Mohamad pangku tugas Zahid, Ismail Sabri laksana tugas Timbalan Presiden UMNO

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kini dilantik memangku tugas presiden parti itu sepanjang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti bagi memastikan kelancaran gerak kerja parti.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pengurusan UMNO yang diadakan di sini hari ini yang turut memutuskan tugas Timbalan Presiden akan digalas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Naib Presiden paling kanan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata keutamaan UMNO sekarang adalah untuk memperkukuhkan saf kepemimpinan dan juga memfokuskan agenda pengukuhan parti.

“Diharapkan semoga proses pengukuhan parti di semua peringkat dapat direalisasikan sebaiknya seperti yang dihasratkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan umno-online.my hari ini.

Selasa lalu, Ahmad Zahid selepas Wacana U3.0 ‘Sesi Hati Ke Hati Bersama Presiden UMNO’ bersetuju menyerahkan tugasnya kepada Mohamad selaku timbalannya demi keutuhan parti serta demi kepentingan pimpinan di semua peringkat terutama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan UMNO Bahagian.

Berita Harian X