Khamis, 20 Disember 2018 | 6:23pm
NAJIB dan Lokman Noor
NAJIB dan Lokman Noor

Najib padam hantaran FB minta Lokman Noor henti undian

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dipercayai memadam hantaran di akaun Facebook (FB) hari ini yang meminta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam supaya memadam undian dalam talian mengenai siapa lebih layak menjadi Ketua Umum UMNO.

Hantaran itu dimuat turun bekas Perdana Menteri pada jam 3.03 petang tetapi didapati tiada atau dipadam dalam tempoh sejam kemudian.

Berdasarkan hantaran yang sempat dirakam gambarnya, Najib menegaskan beliau sekali-kali tidak berniat atau berhasrat untuk menjadi Ketua Umum UMNO.

Najib menegaskan apa yang beliau lakukan hari ini ialah bercakap mengenai kepentingan rakyat selain ingin membersihkan namanya melalui proses undang-undang yang adil.

“Oleh itu, saya harap Datuk Lokman memadamkan undian yang tidak bermakna ini demi semangat kesatuan UMNO,” katanya dalam hantaran itu.

Selasa lalu, Lokman Noor mengemukakan cadangan supaya Najib dilantik sebagai Ketua Umum UMNO dan Ketua Pembangkang, sementara Presiden UMNO bercuti.

Menurut Lokman, dalam situasi kritikal begini, UMNO memerlukan khidmat seorang pemimpin berpengalaman dan dihormati Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang masih belum melompat atau yang sudah melompat.

Serentak itu, beliau mewujudkan undian dalam FB untuk menilai sokongan siapa lebih diterima menjadi Ketua Umum UMNO dan Ketua Pembangkang di antara Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dan Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, dalam FB Lokman Noor, beliau menyindir Khairy supaya jangan berlagak kerana berdasarkan undian itu, Najib masih mendahului.

“Walaupun KJ (Khairy) mengerakkan ‘cyber troopersnya’ dan mendapatkan bantuan Malaysiakini, beliau hanya berjaya meningkatkan sokongannya daripada 18 peratus hingga ke 36 peratus.

“Kalau minta bantuan luar pun Datuk Seri Najib masih memperoleh undian dua kali ganda dari KJ, harap KJ jangan ‘jobo’ sangat. Bahasa orang nogori (Negeri Sembilan), berlagak melampau,” katanya.

Berita Harian X