Jumaat, 21 Disember 2018 | 7:15pm
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi - Foto ASYRAF HAMZAH

Ahmad Zahid turut berehat daripada jawatan Pengerusi BN

KUALA LUMPUR: Keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bercuti, sekali gus menyerahkan tugasnya selaku Presiden UMNO kepada Datuk Seri Mohamad Hasan, turut membabitkan jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Perkara itu dimaklumkan Mohamad selaku Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khas UMNO di Menara Dato Onn, hari ini.

“Beliau (Ahmad Zahid) berehat sekali (termasuk) sebagai Pengerusi (BN),” katanya.

Selasa lalu, Ahmad Zahid, selepas Wacana U3.0 ‘Sesi Hati Ke Hati Bersama Presiden UMNO’ bersetuju menyerahkan tugasnya kepada Mohamad selaku timbalannya demi keutuhan parti serta demi kepentingan pimpinan semua peringkat terutama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan UMNO Bahagian.

Pemangku Timbalan Presiden pula disandang oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas sama ada mesyuarat hari ini turut membincangkan isu rundingan pintu belakang oleh segelintir pemimpin UMNO, Mohammad berkata pihaknya akan berjumpa dengan Ahli Parlimen berkaitan.

Katanya, dengan perubahan tampuk kepemimpinan UMNO ketika ini sedikit sebanyak dapat meredakan keadaan yang memungkinkan lebih ramai Ahli Parlimen akan keluar parti.

“Kita akan berjumpa dengan Ahli Parlimen. Kita juga harap situasi sekarang sudah meredakan dan memuaskan hati.

“Insya-Allah, rakan-rakan pimpinan UMNO akan bersama-sama Ahli Parlimen kita berasa selesa dengan barisan kepemimpinan sekarang. Hasrat mereka lompat parti dapat ditangani,” katanya.

Berita Harian X