Sabtu, 22 Disember 2018 | 10:21pm
DR P Ramasamy (kanan) dan Syed Saddiq Syed Abdul. - Foto NSTP

ARMADA BERSATU NS bidas tindakan Ramasamy

SEREMBAN: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Negeri Sembilan membidas tindakan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang mendesak Ketua ARMADA Nasional, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diambil tindakan.

Ketuanya, Muhammad Aziim Mustafa, berkata kenyataan Ramasamy supaya tindakan ke atas Menteri Belia dan Sukan itu adalah tidak berasas sama sekali.

Menurutnya, penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya bertujuan menyuarakan pendirian ARMADA BERSATU terhadap kegagalan Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy melaksanakan tugas beliau.

“Apa yang dilakukan ARMADA membabitkan suara rakyat yang perlu kami sampaikan dan bukan hanya berdiam diri. Sewajarnya beliau (Ramasamy) menyelidik dahulu sebelum keluarkan kenyataan.

“Pastinya ARMADA menaruh harapan tinggi supaya permintaan itu menjadi kenyataan, namun kami akur apa jua keputusan yang diambil oleh Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sebelum ini, Ramasamy mendesak Dr Mahathir mengambil tindakan terhadap Syed Saddiq atas alasan kononnya ARMADA BERSATU mempersoalkan keputusan dan ‘menghina’ kebijaksanaan Perdana Menteri.

Muhammad Aziim berkata, pada 2 Julai lalu, Ketua Dapsy Malaysia pernah melakukan tindakan yang lebih serius dengan mempertikai dan mengecam keputusan Perdana Menteri secara terbuka.

Malah, katanya, EXCO Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin juga pernah mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatan.

“Adakah tindakan juga perlu di ambil ke atas kedua pemimpin terbabit atau beliau tutup mata dan mengamalkan kronisme dalam mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Beliau berkata, ARMADA BERSATU masih berpegang teguh kepada pendirian ‘berani kerana benar’ yang diterapkan dalam jiwa perjuangan ahli.

“Jangan sesekali kita lupa kesepakatan di dalam satu pasukan Pakatan Harapan dan hubungan silaturahim yang terjalin sehingga membuatkan kita takut kepada kebenaran,” katanya.

Berita Harian X