Ahad, 23 Disember 2018 | 2:59pm
BEKAS Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin ketika ditemui pada Program Edar Kalendar 2019 di Pasar Seberang Jaya, hari ini. - Foto Danial Saad

Jangan samakan isu kuil Seafield dengan piala AFF

SEBERANG JAYA: Tindakan pihak yang menyamakan isu kuil di Seafield, Subang Jaya dengan kekalahan Malaysia kepada Vietnam pada Kejohanan AFF Suzuki, adalah satu penghinaan.

Bekas Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin, berkata isu perpaduan negara adalah jelas lebih penting dan utama berbanding dengan acara sukan bola sepak dwitahunan peringkat rantau Asia Tenggara itu.

“Ini beza kalau kata kalah bola sepak (piala AFF) dan minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy letak jawatan.

“Ia adalah sangat menghinakan untuk kita bandingkan apa yang berlaku di kuil Seafield dengan piala AFF, kerana kita bercakap mengenai bagaimana untuk pecahkan tembok perkauman,” katanya ketika ditemui selepas Program Edar Kalendar 2019 di Pasar Seberang Jaya di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, mengkritik tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mahukan Waytha Moorthy meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ramkarpal dalam kenyataannya turut melihat gesaan Syed Saddiq itu sama seperti tuntutan supaya Menteri Belia dan Sukan itu meletak jawatan ekoran kekalahan Malaysia kepada Vietnam pada pusingan akhir Kejohanan AFF Suzuki, baru-baru ini.

Sementara itu, Dr Afif yang juga EXCO kerajaan negeri, enggan mengulas mengenai kenyataan Syed Saddiq yang mempertahankan tindakannya menuntut Waytha Moorthy meletak jawatan.

Katanya, beliau bagaimanapun tidak melihat tindakan Syed Saddiq itu menghina keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang melantik Waytha Moorthy bagi portfolio ‘Menteri Perpaduan’.

“Ini bukan soal menghina keputusan atau tidak. Dalam suasana Malaysia Baharu, apa jua keputusan yang kita buat tidak semestinya betul.

“Jadi kita perlu berjiwa besar untuk betulkan kesilapan. Itu bezanya kita dengan kerajaan terdahulu,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq dalam kenyataannya berkata, beliau bersedia diambil tindakan jika perbuatannya membenarkan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan, adalah salah.

Selain Syed Saddiq, Dr Afif juga adalah antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyuarakan pandangan supaya Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu meletak jawatan dalam Kabinet.

Berita Harian X