X
Isnin, 24 Disember 2018 | 10:00am
DR Mohd Radzi Md Jidin. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
DR Mohd Radzi Md Jidin. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Singkap lebih jelas hala tuju parti

Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Putrajaya hujung minggu ini dijangka menyingkap lebih jelas hala tuju parti itu, terutama berkaitan perjuangan untuk Melayu dan Bumiputera selain menjawab isu termasuk dakwaan kononnya ia bakal menjadi UMNO 2.0 susulan kemasukan beberapa Ahli Parlimen UMNO. Wartawan NSTP, Luqman Arif Abdul Karim menemu bual Ketua Penerangan BERSATU, Dr Mohd Radzi Md Jidin untuk penjelasan lanjut.

S: Jangkaan perjalanan perhimpunan kali ini?

J: PAT kedua akan bermula 28 Disember dengan perasmian perhimpunan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) pada sebelah malam, disusuli persidangan serta perbahasan pada 29 Disember, sebelah malamnya berlangsung perhimpunan agung. Ia disambung keesokannya dengan ucapan dasar akan disampaikan Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad. Secara umum, persidangan akan dihadiri 1,550 perwakilan, usul dan senarai jurucakap akan dikendalikan bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Jumlah dan bentuk usul akan dibawa ke PAT masih dikaji, sebelum keputusan dibuat. Ibu pejabat masih mendapatkan gambaran umum mengenai usul, kita belum dapat memberi penjelasan umum mengenainya, namun kita sentiasa terbuka untuk menerima suara dari bahagian dan cawangan. Perwakilan bebas sampaikan pandangan dan isi hati untuk dipertimbangkan ibu pejabat. Mereka boleh sentuh soal ekonomi, agama, pendidikan dan sebagainya.

S: Ada usul ‘panas’ dibawa bahagian atau cawangan?

J: Usul seperti berkaitan ekonomi antara sentiasa disentuh, merangkumi pembabitan Bumiputera dalam ekonomi. Itu antara banyak disentuh apabila kita bercakap mengenai usul, terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Ramai ingin melihat hala tuju agenda Bumiputera walaupun kita sudah jelaskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), selain menerusi Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara pada 1 September lalu. Isu agama secara khusus saya tidak ingin sentuh, tetapi akan diketengahkan berkaitan keperluan melihat situasi semasa.

S: Perkara yang dijangka diberi penekanan selepas menjadi parti mewakili blok kerajaan?

J: Kita perlu yakinkan masyarakat, khususnya Melayu bahawa BERSATU perjuang hak istimewa mereka seperti termaktub dalam Perlembagaan dan pada masa sama, tidak mengetepikan hak kaum lain. Itu kita perlu sedar kerana masyarakat melihat kita sebagai pejuang, terutama Melayu apabila UMNO hampir ke penghujung nyawa. Masyarakat lihat BERSATU wadah untuk mereka bergantung harap dalam memastikan apa juga yang terkandung dalam Perlembagaan, kontrak sosial akan terus dipertahankan. Namun, kita perlu sedar situasi politik tanah air, menyaksikan BERSATU, UMNO dan PAS menumpukan pada satu segmen pasaran sama, iaitu masyarakat atau pengundi Melayu. Oleh itu, apa sekali pun kita lakukan, prinsip perjuangan kita yang jelas, contohnya dalam menghapuskan rasuah dinyatakan secara khusus, ia prinsip perjuangan, tapi apabila kita bersaing dalam pasaran sama, masyarakat akan kaitkan terus BERSATU dan UMNO contohnya kerana kita ditubuhkan sebagai platform untuk Melayu. Itu kita tidak dapat nafikan, sebab itu Pengerusi dan Presiden sebut BERSATU ialah parti untuk Melayu dan Bumiputera. Contohnya, apabila ada wakil rakyat UMNO keluar parti, walaupun belum buat pengumuman, sama ada menyertai mana-mana pihak, tetapi parti pertama dikaitkan ialah BERSATU. Itu persoalan utama kerana ia model pemikiran masyarakat yang melihat BERSATU perjuangkan hak pribumi tanpa ketepikan bangsa lain. Persepsi begitu akan terus timbul memandangkan kita berada pada satu pasaran sama dan apa yang dibawa ialah sebagai pengganti. Sebab itu, pada PRU-13, ramai Melayu tidak suka UMNO, tetapi masih kekal kerana tiada parti alternatif ketika itu. apabila BERSATU ditubuhkan pada 2017, ia menukar dinamik cara orang Melayu lihat kita sebagai alternatif kepada parti yang ada.

S: BERSATU bakal ganti UMNO?

J: Kita sangat yakin Melayu akan lihat BERSATU sebagai parti yang boleh terus membantu mereka. Ini selalu ditekankan dan disebut bahawa menerusi kaca mata orang Melayu, BERSATU ialah alternatif. Jadi, dinamik politik semasa menunjukkan ramai orang Melayu mula bersedia untuk bersama dengan kita. Apabila Barisan Nasional (BN) kalah PRU-14, UMNO tidak lagi menguasai kerajaan, banyak isu penyelewengan keluar dan dijelaskan kepada umum. Contohnya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum PRU-14, kita tidak tahu apa maklumat sebenarnya. Selepas PRU-14, satu persatu kebenaran mengenai 1MDB dan pelbagai kes lain timbul. Pengundi dan pemimpin ini rasional, yang totok atau terlampau taasub kita tidak boleh buat apa, tetapi ramai pemimpin dan ahli mereka rasional. Apabila terdedah isu ini, ramai buka mata, selama ini mereka diperbodohkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak supaya percaya kononnya tiada sebarang masalah dan isu. Apabila ini berlaku, ramai yang platform baharu, mana nak pergi, apa wadah yang ada, secara pilihan semula jadinya dalam kalangan orang Melayu ialah BERSATU. Kalau nak sertai PAS, sudah lama, tidak perlu tunggu sekarang. Seperti ditekankan Pengerusi dan kepemimpinan, ahli Yang Berhormat dan wakil rakyat, sebelum sebarang keputusan dibuat, sama ada mereka boleh atau tidak sertai BERSATU, kita akan lihat secara mendalam. Hanya mereka yang sanggup bersedia berjuang selari misi dan objektif parti akan diterima masuk. Apabila kita masuk rumah orang, kena ikut undang-undang ditetapkan tuan rumah. Sebenarnya bukan kita akan ganti, sebaliknya BERSATU akan lebih baik daripada UMNO. Kalau sekadar menggantikan UMNO, tidak mungkin, kerana hakikatnya kita jauh lebih baik daripada mereka menerusi kaca mata pengundi.

S: Kemungkinan rampasan takhta dalam BERSATU susulan kemasukan bekas ahli UMNO?

J: Pada 8 September 2016, parti ini ditubuhkan, orang kata sehelai sepinggang, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir dengan apa saja yang mereka ada, kepemimpinan di pelbagai peringkat berjuang atas semangat, menumbangkan UMNO dan BN. Kita tentang kebobrokan kerajaan dan amalan rasuah ketika itu, selain tadbir urus amat lemah. Itu asas perjuangan kita. Bila menang, ada wakil rakyat pembangkang keluar parti, tempat pertama jadi pilihan ialah BERSATU. Tidak mungkin kita akan biarkan BERSATU diambil alih UMNO. Secara peribadi, bagaimana saya tinggalkan semuanya di Australia, balik untuk berjuang demi parti. Masa itu, tidak tahu akan menang dan jadi timbalan menteri, tapi semangat perjuangan parti berasaskan kebenaran. Kita tumpukan pada perkara itu. Tan Sri Muhyiddin dipecat, boleh duduk diam, tapi memilih untuk bercakap, seterusnya dipecat. Mukhriz pun sama, begitu juga Dr Mahathir. Kami berjuang untuk tegakkan kebenaran. Oleh itu, tidak mungkin kita akan berpeluk tubuh, biarkan UMNO ambil alih BERSATU. Kita akan pertahankan prinsip perjuangan, meskipun onak ditempuh dalam tempoh dua tahun ini dianggap singkat. Bagaimana saya dilantik sebagai ketua bahagian pada Februari 2017, perlu balik dari Hobart (Australia) ke Ketereh (Kelantan) dalam masa 12 bulan, ulang alik lapan hingga sembilan kali, selama 24 jam setiap satunya, semua atas inisiatif sendiri. Saya boleh pilih duduk diam di sana, tapi mengapa, atas dasar perjuangan, begitu juga meletak jawatan. Saya berhenti jadi pensyarah di Australia, meskipun ada pilihan untuk duduk diam. Apabila orang kata akan diambil alih oleh UMNO, dijadikan UMNO 2.0, itu satu penghinaan kepada perjuangan parti.

S: Perwakilan bebas sentuh hal ‘rumah tangga’ parti komponen?

J: Itu antara perkara ditekankan, kita tidak boleh secara umum mengklasifikasikan semua sebagai sampah dan tidak berguna kerana kita perlu rasional. Apabila menang PRU-14, keluar pelbagai isu, 1MDB dijelaskan, bagaimana dengan beg tangan, wang tunai dan sebagainya, sebagai manusia, ada segmen besar dalam masyarakat, walaupun totok UMNO, mereka akan melihat isu ini sebagai hentakan. “Bodohlah aku duk sokong. Apa aku tak nampak benda ini! Gila-gila duk sokong.” Semua perkara ini akan keluar sebagai individu rasional. Ada masyarakat sedar mereka buat kesilapan. Contohnya, isu Tabung Haji (TH), apabila dijelaskan, bercakap mempertahankan Melayu dan sebagainya, tetapi institusi Melayu habis digondol dengan rakus. Ramai yang cukup marah seolah-olah mereka diperbodohkan. Justeru apabila segmen ini buat keputusan nak tinggalkan UMNO, untuk bersama BERSATU kerana perjuangkan kebenaran, cuba meningkatkan tadbir urus, kita perlu ambil kira segmen ini. Pada masa sama, kita sedar sebarang keputusan mengambil ahli dan pemimpin UMNO akan dilihat sahabat dalam PH sebagai seolah-olah UMNO akan ambil alih BERSATU. Tidak mungkin kita nak biarkan orang lain ambil alih parti yang dibina dengan keringat dan air mata sewenangnya?

S: Tanggapan BERSATU rapuh dalam pegangan kerusi di Parlimen?

J: Tidak timbul isu kerapuhan. PH dibentuk dengan satu kerjasama atau janji erat bahawa Dr Mahathir akan dilantik sebagai Perdana Menteri. Itu tawaran kita kepada pengundi sebelum PRU-14, jadi tidak timbul parti dengan pegangan kerusi sedikit dapat jadi Perdana Menteri kerana itu yang dijanjikan. Apabila kita ke medan perang pada PRU-14, siapa jeneral kita? Masyarakat tengok, kalau menang, siapa panglima yang akan membawa kita dan jelas ketika itu, individu berkenaan ialah Dr Mahathir. Jadi tidak timbul kita dapat 13 kerusi dan sebagainya, malah perlu diingat, bagi parti yang berusia setahun, dapat 13 kerusi, satu kejayaan yang amat besar, dengan sumber, masa, tenaga dan kewangan terhad, berupaya melakar kejayaan sedemikian.

Kejayaan PH ialah secara bersama, bukan hanya BERSATU, PKR, AMANAH atau DAP. Setiap parti menyumbang kepada kemenangan terbabit. Itu prinsip yang perlu diselami. Kita tidak sewenangnya menerima sesiapa saja kerana harus ingat parti ini ditubuhkan dengan keringat dan air mata. Kita fahami sentimen ahli parti mengenai hal ini, tetapi dalam masa sama, kita perlu rasional, mana-mana parti untuk bersaing perlu berkembang. Ia memerlukan keahlian, justeru kita tidak boleh hadkan keahlian kepada segmen tertentu, namun keputusan penerimaan mana-mana keahlian di tangan parti. Menerusi mekanisme yang ada dalam parti, kita akan terus lihat, kaji dan teliti sebarang penyertaan oleh mana-mana pihak.

S: Adakah BERSATU totok Melayu seperti UMNO?

J: UMNO dan PAS guna isu kaum serta agama sebagai modal politik mereka, terutama beberapa tahun kebelakangan. Ia sentiasa dimainkan kedua-dua pihak dan secara umumnya, antara kaedah paling mudah untuk membangkitkan sentimen ialah menggunakan kedua-dua isu ini, termasuk dalam kes TH. Apabila agensi itu umumkan operasinya akan diselia Bank Negara Malaysia (BNM), ada pihak kaitkan ia secara langsung dengan bidang kuasa Kementerian Kewangan yang diterajui Lim Guan Eng. Mengapa terjadi begitu kerana ia kaedah paling mudah, modal politik untuk bangkitkan kemarahan, sedangkan hakikatnya jika kita lihat isu TH, aspek kawal selia sebenarnya membabitkan pengurusan institusi yang beroperasi menerusi pengambilan deposit. Oleh itu, mana-mana institusi yang guna operasi sedemikian harus dikawal selia dengan baik kerana membabitkan kepentingan wang umum. Sebaliknya, diceritakan seolah-olah akan dikuasai menteri daripada DAP, itu sentimennya. Namun, BERSATU jelas bahawa kita mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, kontrak sosial berlandaskan apa termaktub dalam Perlembagaan. Kita tidak akan mengetepikan apa-apa yang disebut dalam Perlembagaan sebagai bangsa-bangsa lain. Itu jelas. Kita tidak menggunakan isu ini untuk membangkitkan sentimen, itulah pendekatan kita. Dalam keadaan terdesak, UMNO dan PAS akan berterusan membangkitkan sentimen perkauman, namun bukan BERSATU.

S: Perbahasan terbuka untuk liputan media?

J: Perbahasan akan dilakukan secara tertutup daripada media, kita hanya buka untuk ucapan dasar Pengerusi dan perasmian pada sebelah pagi. Begitu juga perbahasan di peringkat sayap. Bagaimanapun, sesi bersama media untuk menyampaikan perkembangan terkini mengenai perjalanan perbahasan sepanjang persidangan akan dibuat. Penggulungan ucapan dasar akan dibuka kepada media. Penggulungan nanti membabitkan pemimpin peringkat sayap, timbalan presiden, presiden dan pengerusi. Dengan mengambil kira beberapa pertimbangan, kita rasa lebih sesuai ia diadakan secara tertutup, meskipun diakui BERSATU kini parti kerajaan. Pada sidang media itu, kita akan jelaskan inti pati perbahasan. Kita akan telus sebaik mungkin. Persidangan ini bermakna dan meriah. Prinsip yang kita pegang ialah berjimat. Meriah tidak bermakna bermewah, kita boleh meriahkan dalam keadaan berjimat. Saya rasa pihak pengurusan sudah berusaha sedaya upaya meminimumkan kos penganjuran program ini dalam memastikan ia diadakan secara meriah, tapi berjimat sebaik mungkin.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X