Selasa, 25 Disember 2018 | 8:14pm
KETUA Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kedah, Asmirul Anuar Aris (dua dari kanan) menyampaikan bantuan baucar kepada pelajar di Pusat Khidmat DUN Kubang Rotan, hari ini. - Foto BERNAMA

Pemuda PH Kedah tolak sentimen berbaur perkauman

ALOR SETAR: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kedah menolak sebarang sentimen berbaur perkauman yang cuba dimainkan oleh mana-mana pemimpin kerana ia berupaya memecah belahkan agenda pembangunan negara.

Sehubungan itu, Ketuanya, Asmirul Anuar Aris, berkata pihaknya senada dengan pendirian Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, melepaskan jawatan.

“Kita secara konsisten menolak sentimen atau kenyataan berbentuk perkauman...bukan saja apabila ia membabitkan Waytha Moorthy, tetapi buat pemimpin lain juga.

“Justeru, kita senada dengan pendirian Syed Saddiq dan meminta Waytha Moorthy bertanggungjawab dengan melepaskan jawatan, ” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan baucar kepada 280 pelajar miskin dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan.

Sebelum ini, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan, dilaporkan menjadi pemudah cara bersama tiga EXCO ARMADA menyerahkan memorandum bagi mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan, di Pejabat Perdana Menteri, Rabu lalu.

Tindakan Syed Saddiq itu bagaimanapun dibidas Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy yang menyifatkan beliau ‘menghina’ kebijaksanaan Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan Waytha Moorthy dilantik dan bukan terdiri daripada ahli PH.

Pada masa sama, Asmirul Anuar berkata inisiatif dibuat Syed Saddiq itu berupaya menjadi pengajaran buat pemimpin lain supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur perkauman.

“Dalam usaha kerajaan memajukan negara dengan agenda pembangunan, janganlah kita rosakkan dengan membuat kenyataan menggugat keharmonian kaum, ” katanya.

Berita Harian X