Khamis, 27 Disember 2018 | 2:17pm
Md Alwi berkata sikap UMNO bertentangan dengan PAS yang mengatakan UMNO tiada masa depan dan perlu dibubarkan. - Arkib NSTP

UMNO tidak pernah sindir PAS - Md Alwi

KOTA BHARU: UMNO tidak pernah menghina dan menyindir PAS ketika parti itu berdepan krisis kepemimpinan suatu ketika dahulu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata sikap UMNO bertentangan dengan PAS yang mengatakan UMNO tiada masa depan dan perlu dibubarkan.

Katanya, UMNO sentiasa mengambil sikap berdiam diri, malah turut memberi sokongan kepada PAS untuk terus relevan ketika parti itu berdepan masalah.

“Ketika PAS menghadapi masalah dengan sebahagian besar pimpinannya pada masa itu termasuk dengan Mohamad Sabu, (Datuk) Salahuddin Ayub, (Datuk) Husam Musa dan (Datuk) Dr Mohd Hatta Md Ramli, UMNO tidak pernah memberi komen negatif kepada parti itu.

“Malahan, UMNO memberi sokongan kepada PAS untuk terus relevan dalam politik negara ini.

“Kami juga tak pernah hina dan perli PAS. Malah ketika Husam membidas PAS secukupnya dalam sidang Dewan Undangan Negeri, UMNO mengambil sikap berdiam diri dan `bersahabat’ dengan PAS dan sikap seperti ini dipegang oleh semua ahli UMNO hingga kini,” katanya.

Md Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata UMNO juga tidak pernah mencadangkan PAS dibubarkan.

“Jadi, kami (UMNO) beranggapan kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah semalam berniat baik dan ikhlas. Kami juga berterima kasih kepadanya,” katanya.

Md Alwi berkata UMNO sudah membuat keputusan yang jelas di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan dan akan kekal menjadi pembangkang.

“UMNO akan bekerjasama dengan semua parti termasuk PAS untuk jadi pembangkang yang berwibawa kepada Pakatan Harapan (PH).

“Kami akan bersama meruntuhkan kerajaan PH ini. UMNO dengan tiga juta ahlinya dan 38 orang Ahli Parlimen serta puluhan ADUN bukanlah hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Terima kasih Mohd Amar,” tegasnya.

Md Alwi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohd Amar bahawa UMNO sudah tidak mempunyai masa depan dalam politik negara dan mencadangkan parti itu dibubarkan segera.

Berita Harian X