Khamis, 27 Disember 2018 | 2:24pm
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (kiri) dan P Waytha Moorthy. - Foto NSTP
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (kiri) dan P Waytha Moorthy. - Foto NSTP

Desakan terhadap Waytha Moorthy sebab dia gagal, bukan perkauman - Takiyuddin

KOTA BHARU: PAS menegaskan desakan terhadap Senator P Waytha Moorthy supaya meletakkan jawatan bukan disebabkan masalah perkauman, sebaliknya kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melaksanakan tugas.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata perkara sama akan berlaku kepada sesiapa saja, tidak kira Melayu atau Cina, yang bertanggungjawab memegang jawatan berkenaan, sekiranya gagal membawa perpaduan kepada negara.

Justeru, katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perlu menilai secukupnya desakan itu kerana sudah lebih 300,000 rakyat mengatakan Waytha Moorthy gagal sebagai menteri yang memegang portfolio perpaduan.

“PAS sudah mempunyai pandangan tegas dan kita mempunyai fakta untuk mengatakan Waytha Moorthy gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai menteri perpaduan.

“Disebabkan itu, PAS mendesak beliau letak jawatan, bukannya faktor beliau sebagai pemimpin kaum India, sebaliknya kegagalannya melaksanakan tugas.

“Sekiranya kaum lain yang memegang jawatan itu dan gagal mewujudkan perpaduan, kita akan melakukan perkara sama kerana PAS bukan parti perkauman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan, Awang Essa, 72, yang terlantar sakit akibat masalah tulang belakang, di sini, hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, berkata sekiranya kerajaan mahu pemimpin dari kaum India menggantikan Waytha Moorthy, parti itu tidak mempunyai sebarang masalah.

“Sesiapa saja yang layak boleh diganti sebab kita bukan bersikap perkauman, asalkan individu berkenaan melaksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, petisyen mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kini ditandatangani lebih 279,156 orang.

Petisyen menerusi tandatangan dalam talian Change.org itu dilancarkan bulan lalu atas beberapa faktor dan digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS).

Menurut GPS, antara lain, ia berikutan tindakan Waytha Moorthy memburukkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa dengan menyebarkan fitnah kononnya rakyat negara ini yang beragama Hindu ditindas.

Berita Harian X