Khamis, 27 Disember 2018 | 6:12pm
Petugas melakukan persiapan akhir menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Kedua BERSATU di PICC Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

3,000 perwakilan hadir Perhimpunan Agung Tahunan Kedua BERSATU

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Tahunan Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula esok hingga 30 Disember ini mencatat sejarah tersendiri kerana menjadi persidangan pertama selepas menjadi kerajaan.

Sempena Perhimpunan Agung Tahunan itu juga buat pertama kalinya, persidangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan Srikandi turut diadakan.

Perhimpunan bermula esok dengan perasmian perhimpunan Srikandi dan ARMADA pada sebelah malam disempurnakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Persidangan dan perbahasan Srikandi dan ARMADA diteruskan pada Sabtu dan pada sebelah malamnya berlangsung majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan yang disempurnakan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada Ahad, persidangan dimulakan dengan acara perbarisan dan menaikkan bendera parti yang akan dihadiri Dr Mahathir dan barisan kepemimpinan parti.

Persidangan diteruskan dengan perbahasan sehingga tengah hari, manakala ucapan penangguhan oleh Ketua Srikandi, Ketua ARMADA, Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden bermula jam 3.30 petang.

Selepas itu, majlis penutupan perhimpunan dan ucapan penggulungan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU.

Seramai 3,000 perwakilan daripada 135 bahagian di seluruh negara, termasuk wakil daripada 98 sayap Srikandi dan 115 ARMADA akan bersidang sepanjang tiga hari berkenaan.

Perhimpunan terbesar BERSATU itu juga turut membabitkan penyertaan wakil pelajar dan Kelab Bunga Raya dari luar negara.

Sesi perbahasan diadakan secara tertutup, namun perhimpunan kali kedua itu masih memberi kebebasan kepada perwakilan menyampaikan pandangan dan isi hati terutama isu kekeliruan mengenai soal perjalanan dan pentadbiran parti.

Dijangka mendapat liputan luas media, agenda utama persidangan tertumpu kepada usaha parti memperbaiki kerajaan yang rosak akibat kecuaian pemerintah sebelum ini.

Dalam masa yang sama, perhimpunan kali ini pastinya menjadi medan untuk membangkitkan soal kedudukan parti dalam Pakatan Harapan serta pentadbiran kerajaan baharu.

Isu semasa dan topik yang bakal menjadi tumpuan termasuk mengenai pembangunan ekonomi, pendidikan dan agama berikutan kedudukan parti antara parti komponen kerajaan.

Berita Harian X