Jumaat, 28 Disember 2018 | 8:01pm
Bekas Presiden MyPPP, Tan Sri Dr M Kayveas. - Arkib NSTP

Uncle Bond intai kerusi Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: Presiden MyPPP yang dipecat, Tan Sri Dr M Kayveas memberi bayangan sedia bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 Januari ini.

Katanya, beliau menerima banyak sokongan daripada pengundi yang meminta beliau bertanding selepas bekas penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk C Sivarraajh hilang kelayakan bertanding.

“Tetapi saya belum buat keputusan muktamad. Selepas Tahun Baharu, akan fikir (umum) kerusi (bertanding),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa Sivarraajh, yang juga Naib Presiden MIC, hilang kelayakan bertanding dan tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya sehingga 2023.

Mengulas lanjut, Kayveas menyindir tindakan MIC yang enggan memberi laluan kepada beliau bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), lalu.

“Kalau MIC beri laluan kepada Uncle Bond (merujuk diri sendiri) dan tidak kacau saya di Cameron Highlands, dia (MIC) selamat sekurang-kurangnya untuk bertanding dalam PRU-15.

“Sebab MIC tamak, itu (kerusi Cameron Highlands) pun hilang,” katanya.

Kayveas secara berseloroh berkata kerusi Cameron Highlands seolah-olah sudah ditakdirkan untuk beliau.

“Daripada 222 kerusi Parlimen, MyPPP tidak dapat satu kerusi pun daripada Barisan Nasional (BN).

“Sekarang kerusi Cameron Highlands kosong pula. Macam ditakdirkan untuk Uncle Bond,” katanya.

Pada PRU-14, krisis perebutan kerusi Cameron Highlands berlaku antara MIC dan MyPPP, susulan Kayveas berpendirian parti itu patut diberikan mandat bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Secara tradisinya, kerusi Cameron Highlands milik MIC.

Justeru, BN mempertaruhkan Sivarraajh, yang akhirnya menang dengan 10,307 undi.

Sivarraajh menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, M Manogran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi).

Bagaimanapun, PRK Cameron Highlands terpaksa diadakan semula, susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Berita Harian X