Sabtu, 29 Disember 2018 | 12:01pm
KETUA Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

Jangan buang Ketua Armada bahagian senyap-senyap

PUTRAJAYA: Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memberi amaran kepada ketua bahagiannya yang membuang Ketua Armada bahagian secara senyap-senyap.

Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata jika tidak berpuas hati dengan Ketua ARMADA di peringkat pusat atau bahagian, ketua bahagian perlu melakukannya menerusi saluran yang betul.

"Saya juga sedar ada sekumpulan ahli BERSATU yang tidak berpuas hati dengan Armada.

"Ada ketua bahagian yang cuba membuang Ketua Armada bahagian senyap-senyap dan mempersoalkan kredibiliti saudara seperjuangan saya. Cuba macam-macam.

"Saya mahu beri amaran kepada mereka yang berbuat demikian. Jika tidak berpuas hati dengan Ketua Armada pusat atau bahagian, guna cara yang betul. Jangan main belakang-belakang. Ikut saluran yang tepat.

"Ingat. Yang melantik Ketua Armada bahagian bukan saya. Bukan pimpinan tertinggi parti. Bukan Tun atau Tan Sri," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata, pada peringkat awal penubuhan parti dan diberikan kuasa untuk melantik Ketua Armada bahagian, beliau tidak tamak dan gila kuasa dengan memilih kroni sendiri.

"Saya serahkan hak dan tanggungjawab memilih kepada bahagian tanpa campur tangan. Bukan saya yang pilih Ketua Armada bahagian. Tapi anda semua ketua bahagian. Maka, cuba lebih bertanggungjawab.

"Jangan sesekali buang Ketua Armada bahagian dengan jalan belakang, jalan pintas. Sekarang tangan yang melantik nak jadi tangan sama yang membuang. Itu tidak adil," katanya.

Beliau berkata, Ketua Armada bahagian adalah pejuang awal yang bekerja siang malam tanpa gaji.

"Jangan buang mereka sesuka hati. Saya sendiri akan halang dan lawan mereka yang tidak mahu patuh pada prosedur parti.

"Amaran saya adalah amaran Armada . Jangan sesekali cuba menyimbah minyak pada api Armada.

"Jatuh bangun BERSATU adalah Armada. Tanpa Armada, BERSATU gulung tikar," katanya.

Berita Harian X