Sabtu, 29 Disember 2018 | 2:47pm
KETUA Majlis Pimpinan Wanita PKR negeri, Sharifah Norhayati Syed Omar Alyahya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Wanita Keadilan Terengganu, hari ini. - Foto Baharoom Bakar

Hijrah wakil rakyat UMNO menguatkan PH

KUALA TERENGGANU: Kepemimpinan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) tidak perlu bimbang dengan kemasukan ramai Ahli Parlimen dari UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Majlis Pimpinan Wanita PKR negeri, Sharifah Norhayati Syed Omar Alyahya, berkata perkembangan semasa itu dengan situasi ramai Ahli Parlimen dari UMNO yang mengisytiharkan diri keluar parti sering dipantau pimpinan tertinggi PH.

Beliau berkata, bukan semua Ahli Parlimen dari UMNO yang menyertai parti dalam PH termasuk BERSATU diterima secara automatik, sebaliknya perlu melalui beberapa tapisan terutama perbincangan melalui Mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Penyertaan mereka ke dalam BERSATU sudahpun dimaklumkan kepada ketiga-tiga pemimpin utama melalui Mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Penghijrahan mereka beramai-ramai tidak sedikitpun memberi kesan perpecahan dalam kalangan pimpinan tertinggi, sebaliknya menjadikan PH semakin kuat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Wanita Keadilan Terengganu, di sini, hari ini.

Sharifah Norhayati berkata demikian ketika mengulas kemungkinan berlaku perpecahan antara parti dalam PH berikutan ramai Ahli Parlimen UMNO melompat parti dan menyertai BERSATU, sedangkan ada antara mereka menentang calon dari PKR, BERSATU dan Amanah pada PRU lalu.

Ketika diminta mengulas hala tuju Wanita PKR di Terengganu, Sharifah Norhayati berkata, pihaknya berazam menjadikan Terengganu sebagai satu negeri yang ditadbir oleh kerajaan PH pada PRU akan datang.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat itu, seluruh jawatankuasa wanita PKR di lapan cabang di negeri ini perlu menggiatkan usaha untuk menambah jumlah keahlian melebihi 30,000 orang.

“Setakat ini, jumlah keahlian wanita PKR di seluruh negeri hanya 9,000 orang dan misi untuk menambah ahli mampu dicapai, jika semua jawatankuasa meningkatkan gerak kerja,” katanya.

Berita Harian X