Sabtu, 29 Disember 2018 | 8:53pm
Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Abdul Rahman (kanan) dan Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Harun pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

Armada, Srikandi senada tapisan ketat bekas pemimpin UMNO sertai BERSATU

‘Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata’. Boleh dikatakan, ‘tidak ada udang di sebalik batu’ lagi dalam meluahkan rasa apa yang terbuku di dalam jiwa Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Isu ketua bahagian mahu menyingkirkan pemimpin Armada secara senyap-senyap dan tapisan khas untuk bekas pemimpin UMNO mahu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) agak lantang dibahaskan perwakilan Armada dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu hari ini.

Perwakilan Armada ternyata amat tersentuh hati dengan dua isu berkenaan sehingga berani menegur secara terbuka pemimpin di bahagian supaya tidak menyingkirkan Ketua Armada bahagian secara senyap-senyap.

Begitu juga dalam isu penyertaan bekas pemimpin UMNO ke dalam BERSATU, mereka mahu dasar lebih tegas dan ketat sebelum menerima mereka menjadi ahli parti.

Kebimbangan itu berdasarkan hujah kebanyakan bekas pemimpin UMNO yang memohon menyertai BERSATU adalah golongan ‘berkemampuan’, mempunyai kuasa dan berpengaruh.

Isu yang dibangkitkan ini seharusnya dapat membuka mata pimpinan tertinggi BERSATU bagaimana parti yang baru berusia dua tahun sudah mula terpalit kontroversi.

Teguran terbuka Armada itu harus diambil serius Ketua Bahagian BERSATU, apatah lagi Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjanji akan menghalang dan melawan mana-mana ketua bahagian yang tidak patuh pada prosedur parti.

Beberapa perwakilan dan pemerhati menyifatkan isu dibangkit dan dibahaskan itu relevan dibahaskan kerana menyentuh hala tuju parti serta pengaruh BERSATU dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

Perwakilan Armada jelas sekali mahu pucuk kepemimpinan parti tidak bertolak ansur dalam isu berkenaan agar tidak menggugat hala tuju dan masa depan parti.

Bagi mereka, menerima dengan mudah bekas pemimpin UMNO ibarat mencalar kesetiaan ahli asal BERSATU.

Maka, tidak mengejutkan apabila Armada dan Srikandi senada dalam hal ini yang menuntut wakil mereka turut menjadi sebahagian dalam jawatankuasa meneliti dan menapis bekas pemimpin parti UMNO menyertai parti itu.

Kedua-dua sayap parti ini tegas mahu hanya mereka yang benar-benar layak diluluskan menyertai BERSATU supaya budaya politik UMNO tidak meresap dalam parti mereka.

Berita Harian X