Ahad, 30 Disember 2018 | 8:49pm
DR Maszlee Malik (kiri), Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto NSTP

Tun Mahathir 'usik' prestasi Maszlee, Rina, Syed Saddiq

PUTRAJAYA: Usikan sinis Tun Dr Mahathir Mohamad kepada menteri Kabinet daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), mencetuskan gelak tawa perwakilan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu, hari ini.

Pengerusi BERSATU yang juga Perdana Menteri, secara sinis membuat jenaka terhadap beberapa dasar dan pelaksanaan menteri daripada parti itu, yang menjadi polemik dan kritikan rakyat.

Dr Mahathir pada mulanya ‘mengusik’ Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang turut menjadi bahan kritikan perwakilan ketika sesi perbahasan sepanjang hari ini.

“Saya takut dia kena belasah lagi. Dah la kasut hitam orang tak suka, berenang pun tak boleh. Ini pula nak cakap depan khalayak yang ramai.

“Orang di sini (perwakilan) bukan yang senyap-senyap saja. Silap cakap, dia kata sekian terima kasih, kawan belum pun berucap. Alhamdulillah, Menteri Pendidikan dapat banyak tepukan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada PAT BERSATU di sini.

Dr Mahathir turut mengusik Ketua Srikandi yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Armada yang juga Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Demikian juga Puan Rina Harun. Saya juga khuatir tapi akhirnya dapat tepukan juga.

“Saya tak payah cakap la pasal Syed Saddiq. Bercakap adalah kerja Syed Saddiq, lebih daripada saya,” katanya disambut tepukan dan gelak tawa perwakilan.

Dr Mahathir kemudian berkata, prestasi mereka seperti yang ditunjukkan ketiga-tiga menteri BERSATU itu, membuktikan bahawa pilihannya untuk mengisi Kabinet kali ini adalah tepat.

“Saya memang terkenal sebagai orang yang tak tahu pilih. Saya pilih (Tun) Musa Hitam, saya kena belasah. Saya pilih... (perwakilan menyebut nama Datuk Seri Anwar Ibrahim)... kemudianlah. Tak apalah,” katanya mengundang ketawa perwakilan.

Berita Harian X