Khamis, 10 Januari 2019 | 5:05pm
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Azhar Ramli
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Azhar Ramli

PAS setuju calon BN pada PRK Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: PAS bersetuju dengan calon langsung yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada 26 Januari nanti kerana bertepatan dengan suasana semasa dan geopolitik di kawasan berkenaan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menyatakan persetujuan dengan calon berkenaan, bekas pegawai polis, Ramli Mohd Nor.

Katanya, PAS percaya pencalonan itu dibuat atas dasar tolak ansur parti komponen BN dan penerimaan baik oleh parti-parti pembangkang lain termasuk PAS boleh mewujudkan ‘Muafakat Pembangkang’ yang kuat, sekali gus menjadi formula terbaik untuk meraih undi bagi membolehkan BN mengekalkan kerusi Cameron Highlands.

“Sebagaimana dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tun Ibrahim Tuan Man, PAS akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan BN Pahang dalam waktu terdekat bagi menyelaraskan gerak kerja membantu calon BN.

“Jentera Pilihan Raya PAS akan diketuai oleh Naib Presiden, Datuk Iskandar Abdul Samad, sebagai Pengarah Strategik, manakala Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, sebagai Pengarah Operasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, Takiyuddin dan Iskandar hadir pada majlis pengumuman calon BN di Hotel Seri Pacific.

Takiyuddin turut mengesahkan PAS akan menghantar wakilnya dalam kalangan pimpinan kanan parti pada hari penamaan calon PRK Cameron Highlands pada 12 Januari nanti bagi memberi sokongan kepada calon pembangkang.

Katanya, PAS turut mempersoalkan hasrat DAP terus meletak calonnya dalam PRK Cameron Highlands, yang menunjukkan DAP bersikap pentingkan diri dan hanya ingin menguatkan kedudukannya dalam PH, sedangkan mereka sudah mempunyai banyak kerusi berbanding parti-parti lain, terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“DAP sepatutnya mencontohi MIC yang ‘berjiwa besar’ memberikan laluan kepada BN meletakkan calon lain asalkan memberi manfaat kepada pembangkang. Begitu juga MCA, yang sedia melupakan perbezaan pandangan semata-mata atas dasar ‘Solidariti Pembangkang’,” katanya.

Berita Harian X