Jumaat, 11 Januari 2019 | 12:58pm
Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

PRK keempat di Selangor

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menunggu surat pengesahan kematian daripada keluarga Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor sebelum mengeluarkan notis kekosongan kerusi DUN Semenyih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Notis kekosongan kerusi DUN itu bertujuan memaklumkan SPR untuk memulakan proses mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih. Ia adalah PRK keempat di Selangor dalam tempoh lapan bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei tahun lalu.

Selangor sebelum ini sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim, ketika dihubungi berkata ia satu perkembangan tidak sihat dan wajar diteliti walaupun berlaku di luar jangkaan.

Beliau turut menasihatkan semua ADUN Selangor untuk terus memberikan keutamaan kepada penjagaan kesihatan masing-masing berikutan peranan wakil rakyat masa kini semakin luas dan bertambah berat.

“Saya menunggu surat perakuan pengesahan kematian dari keluarga Bakhtiar supaya notis kekosongan kerusi DUN Semenyih di luar jangkaan boleh disampaikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selewat-lewatnya minggu depan,” katanya di sini, hari ini.

Bakhtiar disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung, jam 4.45 pagi tadi.

Bakhtiar menang kerusi DUN Semenyih pada PRU-14 selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz, daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 8,964 undi.

Berita Harian X