Ahad, 13 Januari 2019 | 10:37am

PRK Cameron Highlands bukan pertandingan antara etnik

LIPIS: Pertembungan empat penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands bukanlah pertandingan untuk mewakili kaum atau etnik tertentu di kawasan berkenaan.

Calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran sebaliknya berpendapat, PRK itu adalah medan untuk 32,009 pengundi kawasan berkenaan memilih pemimpin yang boleh mewakili suara semua penduduk berbilang kaum di Parlimen Cameron Highlands.

"Janganlah kita terus memainkan atau menimbulkan isu bahawa PRK kali ini adalah satu pertandingan untuk membuktikan siapa yang boleh membela nasib kaum atau etnik tertentu sahaja.

"Ini adalah perlawanan antara PH, Barisan Nasional (BN) dan dua calon BEBAS... tidak sepatutnya timbul persoalan mengenai calon ini mewakili kaum tertentu semata... kita nak pilih mereka (ahli Parlimen) yang boleh memperjuangkan nasib semua kaum dan etnik yang ada di sini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Ceramah Umum dan Majlis Memperkenalkan Calon PH di Bilik Gerakan PH FELDA Sungai Koyan 3, dekat sini, malam tadi.

Calon yang bertanding untuk PRK Cameron Highlands, calon Pakatan Harapan, M. Manogaran ketika membuat lawatan ke bilik gerakan di Felda Sungai Koyan 3, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands. - Foto Farizul Hafiz Awang

Yang turut hadir Penyelaras Kempen PH Bagi Kawasan Jelai, Young Syefura Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Nor; serta dua calon BEBAS, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai peluang PH mendapat sokongan daripada masyarakat Orang Asli selepas insiden Ahli Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad yang didakwa mengugut Tok Batin di kawasan Cameron Highlands yang tidak menyokong kerajaan Pusat, Manogaran berkata, kenyataan terbabit adalah pendapat peribadi Bob Manolan dan tidak menggambarkan pendirian PH secara keseluruhannya.

"Saya sendiri pun tidak bersetuju dengan kenyataan dibuat Bob Manolan... ia adalah pendapat peribadi beliau dan ia bukanlah pendirian kerajaan Pusat atau pimpinan parti dalam PH.

"Kalau saya pun kena ugut seperti itu, saya tidak terkesan pun... cuma, mungkin akan beri kesan terhadap mereka (Orang Asli) dan terguris dengan kenyataan terbabit.

"Walaupun undi daripada masyarakat Orang Asli bukanlah penentu, namun ia tidak bermakna (undi) mereka tidak penting... jentera kita akan memberi tumpuan terhadap kebajikan Orang Asli," katanya.

Beliau berkata, pendekatan sama akan digunakan dalam kempen membabitkan warga FELDA di sekitar daerah Cameron Highlands.

Katanya, pelbagai masalah berbangkit seperti bebanan hutang dan kadar hasil jualan kelapa sawit dapat diselesaikan.

"Kebanyakan masalah dihadapi peneroka FELDA ketika ini, hanya boleh diselesaikan kerajaan Pusat... isu FELDA Global Ventures Berhad (FGV) adalah perkara lama dan boleh dikatakan setiap tahun dibangkitkan warga peneroka... semuanya boleh diselesaikan kerajaan Pusat, berilah masa kerana kita menjadi kerajaan hanya kira-kira lapan bulan... saya percaya, masalah ini sentiasa mendapat perhatian dan keutamaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri berkaitan untuk diselesaikan," katanya.

Calon yang bertanding untuk PRK Cameron Highlands, calon Pakatan Harapan, M. Manogaran (kiri) bersama Setiausaha Badan Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus (kanan) dan Adun Ketari Yong Syefura Othman (tengah) melihat peta Parlimen Cameron Highlands ketika membuat lawatan ke bilik gerakan di Felda Sungai Koyan 3, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X