Jumaat, 18 Januari 2019 | 11:50am
Menteri Kerja Raya, Baru Bian. - NSTP/Asyraf Hamzah

Kementerian Kerja Raya perluas kerja penyelenggaraan cerun

CAMERON HIGHLANDS : Kementerian Kerja Raya akan memperluaskan kerja-kerja penyelenggaraan cerun di sepanjang jalan menuju ke pusat peranginan ini bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk serta pengunjung.

Menterinya, Baru Bian, berkata tahun ini pihaknya mengenalpasti 10 lokasi untuk dilaksanakan kerja penyelenggaraan cerun secara kerja pembaikan dan 59 lokasi pula secara kerja pencegahan.

Beliau berkata, kerja penyelenggaraan cerun yang membabitkan laluan Jalan Tapah-Cameron Highlands itu akan memerlukan kos sebanyak RM19.4 juta.

"Laluan Persekutuan FT059 Jalan Tapah - Cameron Highlands adalah jalan utama. Walaupun laluan itu jalan lama, perhatian akan terus diberikan oleh kementerian terhadap penyelenggaraan jalan dan cerun.

"Jalan alternatif iaitu laluan FT185 Jalan Simpang Pulai - Blue Valley - Lojing - Gua Musang dan laluan FT102 Jalan Pos Betau - Lembah Bertam untuk menuju ke Cameron Highlands turut diberi perhatian," katanya.

Tahun lalu, beliau berkata, kementeriannya sudah menyiapkan kerja penyelenggaraan cerun runtuh di satu lokasi secara kerja pembaikan dan di 30 lokasi secara kerja pencegahan dengan kos sebanyak RM9.3 juta.

Kerja-kerja itu, katanya membabitkan laluan di sepanjang Jalan Tapah - Cameron Highlands yang menghubungkan Daerah Batang Padang, Perak dan Daerah Cameron Highlands, Pahang.

"Kementerian sentiasa memberi perhatian dan komited untuk terus menyelenggara jalan dan cerun bagi kepentingan serta keselamatan pengguna jalan raya, bukan saja di Jalan Tapah - Cameron Highlands (FT059), malah di seluruh negara," katanya.

Pagi tadi, beliau turun padang membuat tinjauan melalui laluan laluan Persekutuan FT059 Jalan Tapah - Cameron Highlands di Daerah Batang Padang, Perak serta berkesempatan melawat dua lokasi kerja penyelenggaraan cerun iaitu di Seksyen 36 dan Seksyen 17.9 yang dilaksanakan kementeriannya.

Masalah tanah runtuh membabitkan runtuhan cerun jalan sering kali berlaku di kawasan itu terutama jalan dari Tapah menuju ke Cameron Highlands, sehingga menjejaskan pergerakan bukan saja pengunjung, malah penduduk tempatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain kerja penyelenggaraan cerun, pihaknya turut melaksanakan kerja penilaian dan pemetaan tahap bahaya selain risiko cerun di sepanjang Jalan Persekutuan.

Ia dilakukan melalui pengumpulan data dengan menggunakan teknologi terkini seperti teknologi Light Detection and Ranging (LIDAR) serta pembangunan Sistem Amaran Awal dan Masa Nyata/Early Warning System (EWS).

Kerja itu, katanya, dilakukan supaya tanda-tanda awal keruntuhan cerun dapat diketahui dan maklumat berkaitan dapat disebarkan untuk keselamatan pengguna jalan raya di kawasan terbabit.

Berita Harian X