Sabtu, 19 Januari 2019 | 11:13pm
PENGERUSI GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg. - Foto Nadim Bpkhari

GPS lahir daripada semangat Tok Nan

PETRA JAYA: Semangat yang dicetuskan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dalam memperjuangkan hak Sarawak menjadi inspirasi penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Allahyarham ketika menjadi Ketua Menteri mulai 28 Februari 2014 hingga kematiannya pada 11 Januari 2017 cukup dikenali sebagai pencetus perjuangan untuk menuntut hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata selepas pemergian Adenan yang juga dikenali sebagai Tok Nan, beliau berikrar meneruskan legasi perjuangannya untuk menuntut semua hak Sarawak yang sudah terhakis.

Beliau berkata, semangat itu semakin membara selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu sehingga mendorong beliau membuat keputusan nekad untuk keluar daripada gabungan BN.

“PRU-14 memberi kejutan kepada kita semua dan membuatkan saya berfikir, apa yang anak Sarawak patut lakukan apabila berlaku perubahan (selepas kejatuhan BN).

“Berikutan kejutan itu, saya terbayang Tok Nan yang memberi kejayaan besar dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 pada 2016 dan kejayaan itu adalah hasil perjuangan Tok Nan memperjuangkan hak Sarawak dalam MA63,” katanya dalam ucapan pelancaran GPS di Stadium Perpaduan di sini, malam ini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Patinggi Dayang Jumaani Tuanku Bujang; Presiden Parti Rakyat Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, selepas perbincangan pada 12 Jun 2018, semua rakan daripada tiga lagi parti tempatan Sarawak bersetuju untuk beliau mengetuai gabungan baharu bagi meneruskan perjuangan menuntut hak Sarawak itu daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, GPS pimpinannya kini sudah belajar daripada sejarah selama 55 tahun bergabung dengan parti yang berpusat di Semenanjung.

“Kita kini sudah dewasa dan cukup matang dalam politik dan mampu mentadbir Sarawak dengan cara kita.

“Tetapi kita boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja di peringkat Persekutuan, asalkan menghormati hak Sarawak, ” katanya.

Justeru, katanya, GPS menggariskan sembilan tonggak utama sebagai teras perjuangannya.

Sembilan tonggak itu ialah mendokong perlembagaan negara dan negeri, menghormati undang-undang negara, melindungi hak dan kepentingan Sarawak, membangunkan kesejahteraan dan kemajuan Sarawak, mengamalkan budaya politik berintegriti dan patriotik, memperkasakan ekonomi Sarawak, memupuk perpaduan dan keamanan, membina kecemerlangan generasi anak Sarawak serta mempertahankan warisan budaya dan kemampanan hasil semula jadi.

Berita Harian X