Selasa, 22 Januari 2019 | 4:47pm
Sallehuddin (tiga dari kiri) bersama Mohd Tahir (tiga dari kanan) pada sidang media bersama sempena PRK Cameron Highlands di Markas Parti Bebas di Dataran Sungai Koyan, Kuala Lipis. - NSTP/Nazirul Roselan

Calon BEBAS dapat suntikan semangat

LIPIS: Calon Bebas, Sallehudin Ab Talib menerima suntikan semangat apabila Presiden Parti Pejuang Malaysia (PPM), Mohd Tahir Kassim menyatakan sokongan terbuka dan sedia membantunya berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Mohd Tahir yang sebelum ini memegang jawatan sebagai pendakwah di Pejabat Agama Islam Daerah Lipis berkata, beliau sedia mengarahkan 120 ahli parti yang ditubuhkan awal tahun ini, membantu siri kempen Sallehudin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai dan Tanah Rata.

“Walaupun PPM parti baharu, namun kami percaya kerjasama antara PPM dan Cikgu Sallehudin dapat mencipta kejutan dalam PRK kali ini.

“Misi perjuangan kami adalah sama, untuk membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi peneroka FELDA, membela kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pendidikan anak-anak Orang Asli,” katanya dalam sidang media di markas calon Bebas, di pekan Sungai Koyan, di sini, malam tadi.

Mohd Tahir berkata, beliau menubuhkan parti baharu itu selepas melihat tidak ada bantuan sewajarnya diberikan kepada warga peneroka dan pegawai serta anggota pasukan keselamatan.

Katanya, calon Bebas itu mempunyai kekuatan sendiri dan PPM akan membantu dalam aspek penggunaan aset sedia ada dan program turun padang yang dirancang Sallehudin.

“Kita menawarkan pilihan kepada pengundi di sini dan berharap mereka terutamanya komuniti Orang Asli, dapat membantu mengundi calon Bebas kita,” katanya.

Sementara itu, Sallehudin berkata, PRK kali ini dilihat bakal mencabar kemampuan Orang Asli dalam memilih calon terbaik yang ditampilkan parti masing-masing.

“PRK kali ini sangat mencabar... apa sahaja (keputusan) pada PRK kali ini, kita akan terima dengan hati terbuka,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kempen dilakukan sejak hari penamaan calon, Sallehudin berkata, beliau masih menggunakan pendekatan menyantuni pengundi di Sungai Koyan dan Tanah Rata bagi memenangi hati pengundi.

“Saya tidak bercadang untuk mengadakan ceramah secara besar-besaran... kempen saya lebih tertumpu kepada mengunjungi gerai di sekitar kawasan ini (Sungai Koyan) dan menerangkan misi perjuangan saya kepada pengundi.

“Buat masa ini, semuanya berjalan lancar dan ramai yang menyatakan sokongan secara tertutup... waktu tidur saya juga tidak banyak berubah, saya sentiasa pastikan dapat berehat bersama keluarga selepas jam 9 malam dan tidur lena menjelang hari pengundian hujung minggu depan,” katanya.

Difahamkan, Mohd Tahir pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pernah bertanding mewakili parti BERJASA dan memperoleh 81 undi.

Berita Harian X