Rabu, 6 Februari 2019 | 3:47pm
SETIAUSAHA Agung PSM, A Sivarajan.

PSM sahkan letak calon PRK Semenyih

KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang dijadualkan pada 2 Mac ini selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk keinginan rakyat untuk suara ketiga.

Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan, berkata PSM akan mengumumkan calonnya sebelum hari penamaan calon dan mengalu-alukan bantuan dari segi kewangan dan tenaga sukarela untuk memantapkan lagi gerak kerja jentera parti.

“Keputusan ini diambil selepas mengambil kira beberapa perkara seperti faktor sejarah, kerusi tradisi, jentera PSM di Semenyih, pandangan ahli dan penyokong-penyokong parti, kewibawaan calon yang menepati syarat parti dan suasana politik tanah air yang mahukan suara ketiga yang menepati kehausan kehendak rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU-14, calon PSM, S Arutchelvan kecundang dalam pertandingan empat penjuru menentang Johan Abdul Aziz (Barisan Nasional), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan Bakhtiar (Pakatan Harapan) yang menyaksikan kemenangan Bakhtiar dengan majoriti 8,964 undi.

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Penamaan calon PRK DUN Semenyih ditetapkan pada 16 Februari, manakala hari mengundi awal pada 26 Februari. – BERNAMA

Berita Harian X