Jumaat, 15 Februari 2019 | 6:47pm
AZHAR Azizan (kiri) bersama Pegawai Pengurus Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Datuk Mohd Sayuti Bakar (kanan) meninjau persiapan Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih di Dewan Seri Cempaka. - Foto Asyraf Hamzah

PRK Semenyih: 13 borang pencalonan dijual - SPR

KAJANG: Sebanyak 13 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih telah terjual menjelang hari penamaan calon, esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata wakil daripada Barisan Nasional (BN) membeli lima borang pencalonan, Pakatan Harapan (PH) tiga borang dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu borang.

“Selain pembelian oleh parti-parti utama, kita juga ada mengeluarkan empat lagi borang untuk calon Bebas,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Pusat Penamaan Calon bagi PRK Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, di sini hari ini.

Azhar meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau persiapan sambil diiringi Pegawai Pengurus PRK Semenyih, Datuk Mohd Sayuthi Bakar.

Menurutnya, 992 petugas pilihan raya terlibat dalam PRK kali ini dan segala persediaan merangkumi aspek seperti logistik dan kelengkapan serta keselamatan berjalan lancar.

“Saya juga ingin menasihati kesemua parti politik yang terlibat semasa penamaan calon esok untuk mengawal penyokong masing-masing supaya kita boleh jalankan acara esok dengan berhemah,” katanya.

PRK DUN Semenyih pada 2 Mac nanti diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

PH yang menawan Semenyih pada pilihan raya umum lalu, menamakan jurutera muda Muhammad Aiman Zainali sebagai calon manakala BN mempertaruhkan pemimpin tempatan, Zakaria Hanafi.

PSM pula menamakan Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon manakala Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng, juga dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’, turut menyatakan kesediaan bertanding. – BERNAMA

Berita Harian X