Isnin, 18 Februari 2019 | 8:09pm

SPR akur keputusan Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau, Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebagai terbatal dan tidak sah.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata sehubungan itu SPR perlu menunggu Perakuan Keputusan daripada Pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) seterusnya bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.

Terdahulu, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, menolak rayuan Mohamad untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi DUN Rantau sebagai terbatal dan tidak sah.

Mohamad sebelum ini diumumkan menang tanpa bertanding selepas Naib Ketua PKR Cabang Rembau, Dr S Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon pada hari penamaan calon PRU-14, 28 April tahun lalu kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.

Dr Streram kemudian memfailkan petisyen pada 23 Mei untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan kemenangan Mohamad.

Berita Harian X