Selasa, 19 Februari 2019 | 8:27pm
NAIB Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. - Foto Hairul Anuar Rahim
NAIB Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. - Foto Hairul Anuar Rahim

PRK Rantau: Wanita PKR ada 3 nama

KUALA LUMPUR: Wanita PKR sudah mengenal pasti tiga calon untuk diketengahkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, berkata wanita profesional dicadangkan bagi PRK itu kerana pembabitan mereka di pentas politik negara ketika ini masih di kurang memuaskan.

Sehubungan itu, beliau masih berpegang kepada pendirian bahawa kerusi tradisi PKR bagi DUN Rantau harus diberikan kepada calon wanita bagi mengangkat martabat golongan berkenaan sebagai ejen pembangunan negara.

“Kita masih kurang wanita sebagai ADUN dan ahli Parlimen, justeru Wanita PKR mempunyai beberapa nama, semuanya anak jati Negeri Sembilan kerana kriteria itu penting untuk masuk ke gelanggang PRK.

“Secara mudah, Wanita PKR boleh sebut tiga nama untuk dicadangkan,” katanya selepas menutup Forum Bandar Malaysia (MUF) 2019, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Mahkamah Persekutuan kelmarin menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Pada 29 November tahun lalu, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr Streram Sinnasamy merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, cadangan nama mewakili Wanita PKR itu akan diketengahkan pada peringkat perbincangan parti, sebelum diperhalusi dengan lebih lanjut pada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“ ...sebab Rantau ialah kerusi PKR, maka kita akan bincang dan saring nama di peringkat parti dulu, sebelum diangkat ke Majlis Presiden PH,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X