Sabtu, 23 Februari 2019 | 10:39pm
Anwar bersama calon Pakatan Harapan bagi PRK DUN Semenyih, Muhammad Aiman pada majlis sambutan Cap Goh Mei di Kampung Baru Semenyih, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pengumuman berhubung tol tiada kaitan PRK - Anwar

HULU LANGAT: Pengumuman kerajaan sudah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya, tiada kena-mengena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau sendiri sudah dimaklumkan mengenai perancangan itu oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, beberapa minggu lalu.

Beliau berkata, orang ramai perlu memahami usaha itu sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisme kutipan tol, dan pasti rakyat yang paling mendapat manfaat akhirnya.

“Ya, ada satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri berkenaan pengambilalihan konsesi (lebuh raya), tujuannya bagi meringankan beban pengguna,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program bersama rakyat di Kampung Baharu, di sini, malam ini.

Beliau berkata, perancangan mengenai pengumuman itu sendiri satu langkah baik walaupun ia masih pada peringkat awal dan memerlukan beberapa proses selanjutnya.

“Saya tidak tahu (jika ia ada kaitan dengan PRK), namun rancangan itu Menteri Kewangan sudah beri maklum kepada saya dua, tiga minggu lalu.

“Saya tidak fikir begitu (berkait dengan PRK) sebab dia sudah rancang lebih awal,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pengambilalihan konsesi tol itu akan membabitkan Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Dengan kejayaan pengambilalihan itu, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan.

Sementara itu ditanya mengenai kempen PKR pada PRK DUN Semenyih, beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, jentera parti berkenaan yang diketuai Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, sudah berkampung di sini sejak seminggu lalu.

Beliau sekali gus menolak dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa jentera PKR tidak bersungguh-sungguh membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) kali ini.

“Jentera ini diketuai Menteri Besar Selangor, dia yang ada di sini setiap hari. Saya minta setiap tiga hari hantar laporan kepada saya. Saya tidak faham mengapa dibangkitkan perkara ini.

“Itu (hanya andaian) PAS saja,” katanya sambil meminta pengundi di DUN Semenyih menyokong calon muda PH yang disifatkannya akan memudahkan pelaksanaan pelbagai program membantu rakyat di sini kelak.

Berita Harian X