Ahad, 24 Februari 2019 | 8:00pm
Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Pelancaran Program Kampungku Sihat peringkat Kebangsaan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, dekat Kuah hari ini. - Foto BERNAMA

Tun M tidak faham pendirian tidak tetap PAS

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak faham dengan pendirian tidak tetap PAS dalam menyuarakan sokongan terhadapnya untuk kekal sebagai perdana menteri.

“Saya tidak faham PAS ini, Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), Takiyuddin (Datuk Takiyuddin Hassan) dan Samsuri (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) ada jumpa saya menyatakan mereka sedia sokong saya, bahkan beri pengakuan bertulis yang ditandatangani Takiyuddin.

“Mereka mahu saya terus menjadi Perdana Menteri dan tidak akan ikut kempen di Semenyih, tetapi pada penamaan (calon PRK Semenyih) pemimpin PAS ada (sokong UMNO),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Kampungku Sihat Kebangsaan di sini, hari ini.

Dr Mahathir memotong riben pada Pelancaran Program Kampungku Sihat peringkat Kebangsaan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, dekat Kuah hari ini. Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri). - Foto BERNAMA

Sebelum ini, PAS melalui Presidennya, Abdul Hadi; Setiausaha Agungnya, Takiyuddin dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri menemui Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSTU) itu bagi memberi sokongan sekiranya berlaku pengkhianatan dalam kalangan parti komponen PH.

Pemimpin PAS juga berkata calonnya tidak akan bertanding dalam PRK Semenyih dan tahap penyertaan serta komitmen diberikan kepada pembangkang berbeza dengan PRK Parlimen Cameron Highlands.

Beberapa hari lalu pula PAS membangkitkan kononnya ia akan menyokong Dr Mahathir jika berlaku gerakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen, dakwaan yang dinafikan oleh pemimpin PH yang menganggapnya cubaan untuk memecahbelahkan pakatan parti kerajaan.

Dr Mahathir berkata, tindakan PAS tidak meletakkan calon mereka pada PRK Semenyih membuktikan parti itu memberi laluan kepada UMNO.

“Jadi saya susah nak terima apa yang didakwa PAS, satu masa kata sokong dan satu masa kata tidak, ini cara PAS dan kita akan lawan kerjasama PAS dan UMNO ini.

“(Kerjasama) Ini menunjukkan PAS bukan mengutamakan Islam, sebaliknya apa yang diutamakan adalah untuk menang pilihan raya,” katanya.

Berita Harian X