Rabu, 6 March 2019 | 4:44pm
Mohd Shafie (dua dari kiri) menerima borang keahlian menyertai WARISAN daripada Anita (dua dari kanan) pada sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Mohd Shafie (dua dari kiri) menerima borang keahlian menyertai WARISAN daripada Anita (dua dari kanan) pada sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

ADUN Tandek keluar PBS, masuk WARISAN

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Datuk Anita Baranting, hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Timbalan Ketua PBS Tandek untuk menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Beliau yang menyertai PBS sejak penubuhan parti itu 34 tahun lalu adalah wakil rakyat pertama daripada PBS keluar parti untuk menyertai parti pemerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan keyakinannya terhadap WARISAN yang dilihat ikhlas membantu rakyat dan membangunkan negeri selepas hampir setahun mengetuai kerajaan negeri.

Selain itu, katanya, langkah itu juga bagi membolehkan beliau dan pemimpin akar umbi di kawasan diwakilinya dapat meneruskan khidmat membantu kerajaan dalam semua aspek pembangunan negeri, khususnya di Tandek.

“Atas dasar peduli rakyat dan tidak mahu meremehkan masa yang baik untuk berkhidmat kepada rakyat, kami bersedia untuk mengerahkan kudrat menyatupadukan rakyat agar kewujudan parti tempatan ini terus relevan,” katanya pada sidang media bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini, hari ini.

Anita bersama kira-kira 50 bekas pemimpin akar umbi PBS, UMNO dan GERAKAN dan MCA dari kawasan Tandek yang dipanggil Skuad Tandek, menyerahkan borang menyertai WARISAN kepada Mohd Shafie.

Ditanya sama ada beliau sudah memaklumkan keputusannya itu kepada kepemimpinan PBS, Anita berkata tiada keperluan untuk beliau berbuat demikian.

“Tidak perlu dimaklumkan atau hantar surat letak jawatan kepada PBS kerana perlembagaannya menyatakan seseorang itu secara automatik hilang keahlian dalam PBS apabila menyokong parti lain,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata pihaknya menyambut baik keputusan Anita dan penyokongnya untuk menyertai WARISAN serta menganggap langkah itu menguatkan lagi keupayaan kerajaan membangunkan negeri.

Berikutan tindakan Anita itu, PBS kini hanya tinggal lima ADUN iaitu Kiulu, Tamparuli, Matunggong, Labuk dan Kundasang.

Di pihak kerajaan pula, gabungan WARISAN, PKR, DAP dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) kini mempunyai 47 orang termasuk ADUN Lantikan dengan 32 dalam WARISAN.

Berita Harian X