Khamis, 28 March 2019 | 11:03pm
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

SPR keluarkan peringatan bagi penamaan calon PRK Rantau

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan bahawa tempoh masa untuk mengemukakan kertas penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ialah dari jam 9 pagi hingga 10 pagi, Sabtu ini.

Pusat penamaan calon yang ditetapkan ialah di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sri Sendayan.

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun, berkata kertas penamaan calon yang lengkap diisi dengan betul boleh dikemukakan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka.

“SPR mengingatkan bakal calon yang telah membayar deposit pilihan raya agar membawa resit pembayaran deposit itu pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran,” katanya.

Selain itu, calon yang bertanding mewakili parti politik diingatkan supaya membawa surat kebenaran daripada parti yang membenarkan mereka menggunakan simbol parti.

“Orang ramai juga dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon,” katanya.

Beliau berkata antara perkara yang tidak boleh dilakukan semasa hari penamaan calon ialah penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui apa-apa cara termasuk penggunaan kenderaan.

“Bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan aman, semua pihak diminta sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan SPR, polis dan pihak berkuasa tempatan,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X