Sabtu, 30 March 2019 | 12:24pm
TIMBALAN Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom (tengah) ketika sidang media pada hari penamaan calon di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sri Sendayan. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin

SPR 'cabar' pengundi Rantau keluar mengundi

SEREMBAN: Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau diharap keluar beramai-ramai mengundi sekali gus mengatasi peratusan keluar mengundi yang direkodkan pada PRK DUN Semenyih, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata pada PRK DUN Semenyih, peratusan keluar mengundi yang direkodkan adalah 73 peratus dan pihaknya berharap pengundi di DUN Rantau mampu mengatasi rekod berkenaan.

“Saya cabar pengundi di Rantau. Jika dalam PRK DUN Semenyih peratusan keluar mengundi adalah 73 peratus, di Rantau kita harap akan lebih tinggi lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas proses penamaan calon PRK DUN Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini selesai, hari ini.

PRK DUN Rantau akan menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, R Malar (Bebas), Mohd Nor Yassin (Bebas) dan calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Dr S Streram.

SPR menetapkan 9 April ini hari mengundi awal manakala 13 April hari pengundian.

Pengumuman rasmi calon layak bertanding dibuat Pegawai Pengurus PRK DUN Rantau, Mohd Nizam Tajul Arus pada jjam 10.30 pagi selepas tempoh penamaan calon berakhir jam 10 pagi dan tiada borang pencalonan ditolak.

Azmi turut berkata, beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan dalam beberapa PRK sebelum ini akan diteruskan, antaranya mewujudkan dua saluran khusus untuk pengundi berusia 60 tahun ke atas dan menambah waktu mengundi selama 30 minit.

"Sebelum ini waktu mengundi ditetapkan mulai jam 8 pagi hingga 5 petang tetapi selepas ini daripada jam 8 pagi sehingga jam 5.30 petang.

“SPR juga akan menambah 11 saluran baharu di pusat mengundi yang ramai pengundi menjadikan keseluruhannya 55 saluran. Pengundi orang kurang upaya (OKU) berjumlah 5541 orang akan mengundi di saluran satu," katanya.

Beliau berkata, SPR melantik 137 pemerhati pilihan raya daripada 15 organisasi yang terdiri daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), organisasi dan individu yang berkelayakan bagi memantau perjalanan PRK ini.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi berkenaan selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan SPR Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRK DUN Rantau adalah ketujuh diadakan selepas PRK DUN Sungai Kandis, DUN Balakong, DUN Seri Setia, Parlimen Port Dickson, Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih.

Hari mengundi awal bagi PRK DUN Rantau ditetapkan pada 9 April manakala hari pengundian ada 13 April.

Berita Harian X