Jumaat, 5 April 2019 | 4:20pm
PENYELARAS BERSATU Sabah, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen. - Foto Eizairi Shamsudin

'Tunggu kejutan pada pelancaran BERSATU Sabah' - Mohd Rafiq

KUALA LUMPUR: Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sabah esok, bakal menyaksikan kejutan apabila lebih ramai wakil rakyat atau bekas pemimpin UMNO negeri berkenaan menyertai parti diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penyelaras BERSATU Sabah, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata keputusan menerima bekas pemimpin UMNO, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen sebagai ahli BERSATU adalah strategi bagi memperkuatkan kerajaan negeri dan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH).

Dengan kemasukan pemimpin berkenaan, katanya, ia dapat mencukupkan dua pertiga sokongan wakil rakyat di peringkat DUN dan Parlimen, sekalo gus memudahkan proses reformasi dalam usaha menuntut pindaan Perlembagaan.

"Mana-mana parti politik mempunyai strategi dan satu sebabnya adalah dari segi politik. Kita mahu memastikan kekuatan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di bawah PH. Ia akan memberi satu perubahan drastik dalam negara, contohnya bagi mendapat dua pertiga (sokongan) Ahli Parlimen supaya cukup untuk pinda Perlembagaan.

"Justeru, kita menerima permohonan dari pelbagai pihak (sertai BERSATU), namun keutamaan adalah memproses permohonan pemimpin dalam kalangan ADUN, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara atau senator.

"Insya-Allah, memang akan ada wakil rakyat dari UMNO atau yang sudah keluar UMNO akan bersama kita. Akan ada tambahan atau akan ada lagi wakil rakyat Bebas dari kalangan bekas (pemimpin) UMNO akan menyertai BERSATU pada Sabtu nanti," katanya pada sidang media di sini.

Pada 15 Februari lalu, Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri mengumumkan BERSATU bersetuju melebarkan sayap ke Sabah untuk bekas ahli UMNO negeri itu yang tidak mahu menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN), iaitu parti sekutu Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, tiga syarat ditetapkan iaitu mereka mesti keluar UMNO terlebih dahulu dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum diterima menyertai BERSATU dengan proses pemilihan yang ketat, bukan secara berkumpulan tetapi individu.

Dr Mahathir juga menegaskan, kewujudkan BERSATU di Sabah bukan untuk mencabar atau menentang WARISAN yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pada pelancaran BERSATU di Sabah nanti, Rafiq yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (AMPT) parti berkenaan, berkata majlis akan turut mengumumkan barisan jawatankuasa penaja BERSATU untuk 25 bahagian di negeri itu.

Katanya, sekitar 30 hingga 40 peratus muka baharu bakal diberi peluang untuk diketengahkan sebagai ketua bahagian.

"Insya-Allah, ada muka baharu termasuk anak muda yang akan menjadi pelapis kepada BERSATU Sabah. Siapa bakal ketuai parti ini di Sabah, itu akan diumumkan oleh Tun Dr Mahathir," katanya.

Beliau turut mendedahkan, setakat ini BERSATU menerima 104,000 permohonan menyertai parti terbabit di Sabah yang bakal menjadikan negeri berkenaan memiliki keahlian BERSATU paling ramai di negara ini.

Media pada 12 Disember lalu, melaporkan lima Ahli Parlimen, sembilan ADUN, 21 ketua bahagian dan dua senator UMNO Sabah mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Mereka ialah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).

ADUN pula, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor (Sulaman), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jameh (Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas).

Pada 15 Mac lalu, Abdul Rahim, Azizah, Zakaria dan Ronald bersama Hajiji dan Masidi serta dua Ahli Dewan Negara, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk John Ambrose menerima kad keahlian BERSATU daripada Dr Mahathir.

Berita Harian X