Ahad, 7 April 2019 | 5:01pm
Shafie berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Parti Warisan Sabah (WARISAN) Bahagian Semporna di Dewan Masyarakat Semporna. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Serah kepada DAP tentukan calon PRK Sandakan

SEMPORNA: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menyerahkan kepada DAP untuk menentukan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang akan diadakan pada 11 Mei ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bagi membincangkan mengenai PRK itu esok (Isnin).

“Kita akan bincang bagaimana kedudukan pada (PRK) ini kerana kerusi itu (Sandakan) adalah milik DAP.

“Mereka akan putuskan siapa yang akan jadi calon dan kita (WARISAN) akan pastikan jentera bekerja keras bagi memastikan kejayaan dan kemenangan PRK Sandakan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung WARISAN Semporna, di sini, hari ini.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, 65, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah dan Pengerusi DAP negeri, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Fatt mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 19,094 undi selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ming Hoo yang mendapat 8,996 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 April ini sebagai hari penamaan calon, 7 Mei untuk pengundian awal dan 11 Mei hari mengundi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelantikan Datuk Hajiji Noor sebagai penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri yang dilancarkan semalam, beliau berkata, perkara itu adalah hak parti berkenaan dan semua pihak perlu menerimanya.

Katanya, kerajaan pimpinan WARISAN yang diketuainya akan terus bekerjasama dengan BERSATU di peringkat persekutuan seperti sebelum ini.

Dalam pada itu, ketika berucap pada mesyuarat agung itu, beliau menggesa semua perwakilan supaya menerapkan nilai murni dalam perjuangan di samping menguatkan perpaduan parti.

“Walaupun usia WARISAN masih muda, kita kena belajar dan mengambil iktibar daripada apa yang pernah terjadi kepada parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) yang akhirnya tumbang kerana sikap pemimpin yang rakus dengan harta dan pangkat.

“Setiap ahli perlu sedar perjuangan kita kena berpegang dengan niat selain mesti ada sifat redha sebelum memasuki politik,” katanya.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna serta Presiden WARISAN menang tanpa bertanding jawatan Ketua Bahagian WARISAN Semporna, manakala Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berdepan saingan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Turut menang tanpa bertanding ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datuk Manis Muka Mohd Dara bagi jawatan Ketua Wanita WARISAN Semporna.

Berita Harian X