Rabu, 10 April 2019 | 11:35am
Pengerusi bersama GBS yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan. - Arkib NSTP

GBS dijangka bertanding pada PRK Sandakan

KOTA KINABALU: Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dijangka meletakkan calon daripada parti dalam gabungan itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Pengerusi bersama GBS yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, ketika dihubungi hari ini, berkata bagaimanapun perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut dengan parti dalam gabungan berkenaan.

“Kami (GBS) ada minat (untuk bertanding) tetapi perkara ini akan dibincangkan dengan semua parti dalam gabungan ini. Ia kerana mungkin ada yang menunjukkan minat seperti PBS (Parti Bersatu Sabah).

“Apa pun keputusan yang akan diambil dalam perbincangan itu, kita akan letak satu calon sahaja daripada GBS untuk bertanding,” katanya.

GBS membabitkan gabungan parti iaitu STAR, PBS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata perbincangan mengenai siapa yang bertanding daripada gabungan itu akan dibuat secepat mungkin, selewat-lewatnya dalam minggu ini.

Sementara itu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, ketika dihubungi berkata SAPP menunggu keputusan Gabungan Sabah (GS) sebelum membuat keputusan.

GS diwujudkan pada tahun lalu membabitkan gabungan parti tempatan iaitu SAPP, STAR, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Parti Kebangsaan Sabah (PKS).

Setakat ini, PBS dan MCA antara parti yang menunjuk minat untuk bertanding, bagaimanapun kedua-dua parti itu belum membuat keputusan rasmi.

Selain PBS dan MCA, pada Isnin lalu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, PAS pusat akan bermesyuarat bagi memperhalusi hasrat parti di negeri ini bagi meletakkan calon bertanding pada kerusi Parlimen itu.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga Pengerusi DAP Sabah dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian dan hari mengundi awal pada 7 Mei manakala 27 April sebagai tarikh penamaan calon.

Berita Harian X